KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Selepas dibayangi beberapa episod hitam apabila sering terbatal dalam acara lompat kijang, atlet kebangsaan Andre Anura Anuar kini mampu menarik nafas lega apabila berjaya menemui formula terbaik bagi memastikan setiap lonjakannya sah.
Atlet berusia 26 tahun itu berkata teknik baharu yang diterapkan bersama jurulatihnya mula membuahkan hasil selepas melalui beberapa siri percubaan yang menuntut kesabaran dan ketelitian.
Hasilnya, Andre meraih pingat emas dalam acara lompat kijang Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur yang berlangsung di Stadium Merdeka, hari ini dengan catatan 15.62 meter.
“Kemenangan hari ini amat menggembirakan saya, terutama dari segi rentak lompatan. Sebelum ini, saya banyak melakukan kesalahan hingga lompatan terbatal, termasuk di temasya besar seperti Sukan Komanwel.
“Tetapi untuk pembukaan musim ini, kami berjaya mengatasi isu tersebut. Keenam-enam lompatan hari ini adalah bersih dan sah. Dari segi jarak, kami belum tetapkan sasaran untuk kejohanan ini kerana ia hanya pertandingan pemanas badan,” katanya kepada pemberita.
Andre dijangka terus memperkemas teknik dan kecergasan fizikalnya menjelang Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Korea Selatan bulan ini, dengan sasaran untuk melepasi jarak 16 meter sebelum beraksi di pentas lebih besar, Sukan SEA Thailand 2025.
Mengulas lanjut, Andre berkata beliau meletakkan sasaran untuk melepasi jarak 16 meter bagi pembukaan musim, namun sedikit keletihan selepas menyertai dua acara berturut-turut sebelum itu.
“Semalam saya sertai acara secara berturut-turut (back-to-back event), jadi agak penat. Tapi dari segi rentak dan larian, semuanya menjadi. Kami sangat berpuas hati dan selepas ini akan all out,” katanya.
Pingat perak dirangkul atlet Kairos Athletics Club, Brendon Ting Li King dengan catatan 15.22m, manakala gangsa milik wakil PLD Bagan Datuk, Mohamad Shah Sholihin Azshar dengan lompatan 14.92m.
Andre ketika ini memegang rekod peribadi 16.51m dalam acara lompat kijang yang dicatat di Sukan SEA Hanoi 2021 dan 8.02m dalam lompat jauh pada Sukan SEA Filipina 2019.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial