WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEADAAN KEMANUSIAAN DI GAZA DI LUAR JANGKAAN AKIBAT SEKATAN ISRAEL - UNRWA

04/05/2025 07:00 PM

ISTANBUL, 4 Mei (Bernama-Anadolu) -- Keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza kini berada pada tahap "di luar jangkaan" apabila Israel terus menyekat bekalan ke wilayah itu, kata Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Apabila sekatan sepenuhnya terhadap bekalan penting untuk kelangsungan hidup memasuki minggu kesembilan, usaha bersepadu antarabangsa amat diperlukan bagi mengelakkan bencana kemanusiaan ini daripada mencapai tahap yang lebih buruk,” menurut kenyataan agensi itu.

UNRWA sekali lagi menggesa gencatan senjata segera di wilayah Palestin itu.

Krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing selepas Israel pada bulan lepas secara unilateral membatalkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang dicapai dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas pada 19 Jan lepas.

Pada Jumaat, Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini memberi amaran bahawa setiap hari tambahan di bawah sekatan Israel akan "membunuh secara senyap lebih ramai kanak-kanak dan wanita, selain mereka yang terkorban akibat pengeboman".

Pada Khamis, Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Al-Thawabta memberitahu Anadolu bahawa wilayah itu telah memasuki “tahap kebuluran yang kritikal” susulan penutupan lintasan sempadan sejak 2 Mac dan serangan tentera Israel yang diperhebat.

Sejak serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, hampir 52,500 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakan ketenteraannya di wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan