KOTA BHARU, 3 Mei (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan melaksanakan operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi membawa keluar seorang kanak-kanak lelaki yang diserang asma di Pulau Perhentian, Terengganu, hari ini.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada petugas kesihatan Klinik Kesihatan Pulau Perhentian pada jam 12.15 tengah hari sebelum operasi digerakkan.
Susulan itu, sebuah bot ronda diatur gerak ke lokasi dan membawa pesakit berusia sembilan tahun ke Jeti Penumpang Kuala Besut dalam tempoh kurang satu jam.
“Pesakit kemudian dihantar ke Hospital Besut dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
“Tindakan segera diambil berikutan keadaan mangsa yang semakin lemah dan memerlukan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 3 petang tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Orang ramai turut disaran agar sentiasa peka terhadap tahap kesihatan masing-masing dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial