WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIDANG KHAS PARLIMEN BINCANG ISU TARIF BAKAL JADI TUMPUAN UTAMA

04/05/2025 10:20 AM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Semua tumpuan akan terarah pada sidang khas Palimen pada Isnin ini untuk membincangkan mengenai tarif timbal balik mengejut oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia yang telah mencetuskan kebimbangan kepada kerajaan dan juga industri.

Sesi itu dijangka menampilkan perbahasan menyeluruh apabila penggubal undang-undang mempertimbangkan implikasi keputusan AS itu serta pilihan diplomatik dan ekonomi yang akan diambil Malaysia.

Tarif itu, yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pada 2 April lepas, termasuk tarif asas sebanyak 10 peratus yang dikenakan ke atas semua negara dan levi tambahan termasuk sebanyak 24 peratus ke atas eksport barangan Malaysia.

Langkah itu dilaporkan merupakan sebahagian daripada usaha Washington untuk menyelaras semula hubungan perdagangan dan menangani defisit perdagangan.

Terdahulu pada 24 April lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengetuai delegasi peringkat tinggi ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer.

Semasa pertemuan tersebut Tengku Zafrul menekankan tentang kepentingan untuk mengadakan perbincangan secara berterusan dan mengulangi kesediaan Malaysia untuk mencari jalan penyelesaian secara membina terhadap kebimbangan yang disuarakan AS.

Malaysia menyatakan keterbukaan untuk mengadakan rundingan dalam empat bidang utama: mengurangkan defisit perdagangan, menangani halangan bukan tarif, mengukuhkan perlindungan dan keselamatan teknologi dan meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

"Pertemuan pertama dengan Setiausaha Perdagangan AS dan Wakil Perdagangan AS ini adalah satu langkah ke arah hala tuju yang betul. Kita akan terus mengekalkan momentum dengan mengadakan pertemuan susulan segera mengenai beberapa isu utama yang dibincangkan dalam tempoh 90 hari penangguhan tarif," kata Tengku Zafrul dalam satu kenyataan pada 25 April.

Beliau juga mengalu-alukan keputusan penangguhan pelaksanaan tarif oleh AS yang disifatkannya sebagai "peluang” untuk menyelesaikan perkara itu secara diplomatik.

Pada 9 April 2025, pentadbiran AS mengumumkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik individu bagi kebanyakan negara namun mengekalkan tarif asas sebanyak 10 peratus.

Keputusan ini dibuat untuk memudahkan rundingan dengan lebih 75 negara yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap tarif mengejut itu.

Sementara itu, pentadbiran AS telah mengenakan duti tambahan ke atas import China, menaikkan jumlah kadar tarif ke atas barangan berasal dari China kepada 145 peratus.

Sidang khas 5 Mei yang diadakan atas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan menjadi platform utama untuk para menteri memberi taklimat kepada Parlimen tentang langkah-langkah yang diambil kerajaan dan hasil daripada perbincangan dua hala baru-baru ini.

Sidang itu juga akan membahaskan mengenai impak ekonomi yang lebih meluas akibat daripada tarif AS dan menggariskan langkah-langkah yang diselaraskan merentas kementerian dan sektor.

Menurut kenyataan daripada Parlimen, sidang itu diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, yang membolehkan perkara-perkara mendesak yang berkepentingan awam dibahaskan.

Taklimat peringkat menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) akan merangkumi tindakan AS, implikasinya terhadap Malaysia, dan langkah-langkah yang diselaraskan kerajaan.

Ketika ketegangan mula mereda dan pasaran global memantau perkembangannya, sesi sidang khas Parlimen pada Isnin ini dijangka membuka jalan kepada Malaysia bagi memulakan langkah seterusnya dan mendorong kemajuan penting dalam hubungan perdagangan dengan AS. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan