WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PIALA SUDIRMAN 2025: MALAYSIA TEWASKAN AUSTRALIA, SEBELAH KAKI KE SUKU AKHIR

29/04/2025 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Skuad badminton negara mengekalkan momentum kemenangan apabila menewaskan Australia 4-1 dalam aksi peringkat Kumpulan C, Piala Sudirman 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan ke suku akhir.

Pada perlawanan berlangsung di Gimnasium Xiamen Fenghuang, China hari ini, Malaysia mengutip mata pertama menerusi beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan Ricky Tang-Gronya 21-8, 21-12.

Perseorangan lelaki Justin Hoh yang teruja menguji keupayaannya dalam kejohanan berintensiti tinggi berjaya menggandakan mata selepas menundukkan Shrey Dhand 21-9, 21-15.

K Letshanaa meletakkan Malaysia di kedudukan selesa apabila menambah mata ketiga menewaskan perseorangan wanita Australia Bernice Teoh Kai Qi 21-6, 21-8 diikuti kemenangan mudah Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan Jack Yu-Frederick Zhao 21-8, 21-9. 

Satu mata berjaya diperoleh Australia menerusi beregu wanita Gronya Somerville-Angela Yu yang menewaskan beregu negara Go Pei Kee-Carmen Ting 21-15, 21-18.

Sementara itu, menerusi rakaman audio dikongsi Persekutuan Badminton Malaysia (BAM), Tang Jie yang kembali bergandingan bersama Ee Wei berharap mereka dapat memenangi setiap perlawanan apabila diberi tanggungjawab mewakili negara di Piala Sudirman kali ini.

Bagi Ee Wei pula, beliau berkata: “Siapa sahaja diturunkan, kami akan berjuang sebagai satu pasukan.”

Malaysia dijadualkan berdepan Jepun pada 1 Mei, melengkapkan perlawanan peringkat Kumpulan C.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia di Piala Sudirman ialah mara ke separuh akhir tiga kali iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan