WILAYAH - SARAWAK > BERITA

XI SERU KUMPUL KEKUATAN WARGA PEKERJA DEMI KEBANGKITAN BANGSA

29/04/2025 02:46 PM

BEIJING, 29 April (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping berkata perlunya mengumpul kekuatan golongan pekerja di seluruh negara ke arah menterjemahkan rangka tindakan kebangkitan bangsa melalui usaha bersungguh-sungguh.

Beliau membuat kenyataan itu pada Isnin ketika menghadiri perhimpunan besar bagi meraikan ulang tahun ke-100 penubuhan Persekutuan Kesatuan Sekerja Seluruh China dan memberi penghargaan kepada pekerja teladan dan individu cemerlang.

Seramai 1,670 orang diberi penghormatan sebagai pekerja teladan peringkat negara dan 756 lagi mendapat pengiktirafan sebagai individu cemerlang.

Dalam kesempatan itu, Xi merakamkan ucapan tahniah kepada penerima penghormatan dan menyampaikan salam kepada warga pekerja, kaum tani dan golongan intelektual di seluruh negara menjelang sambutan Hari Pekerja yang diraikan pada 1 Mei setiap tahun.

Beliau turut menyatakan adalah penting untuk menitikberatkan pembangunan berkualiti dan memotivasikan golongan pekerja untuk terus berdedikasi dalam bidang diceburi serta melakukan lebih banyak inovasi dan kreativiti.

Warga pekerja harus seiring dengan revolusi teknologi dan gelombang transformasi perindustrian, dan meningkatkan kemahiran dan kepakaran secara holistik, tambah Xi.

Presiden berharap agar etos pekerja teladan dan ketukangan yang unggul dapat terus disemarakkan, selain usaha dipergiat untuk menambah baik kebajikan golongan pekerja.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan