WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MCMC LAKSANA 1,257 SESI PENGUJIAN MSQOS JALUR LEBAR TANPA WAYAR SETAKAT SUKU PERTAMA 2025 - FAHMI

26/04/2025 09:34 PM

SANDAKAN, 26 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan sebanyak 1,257 sesi pengujian standard mandatori bagi kualiti perkhidmatan (MSQoS) jalur lebar tanpa wayar di seluruh negara dalam suku pertama tahun ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu, sebanyak 196 lokasi sesi pengujian adalah di Sabah.

Beliau berkata berdasarkan aktiviti pemantauan dan kawal selia juga, sebanyak 135 notis di bawah Subseksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 telah dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi pada tahun ini.

"Tempoh 2023 dan 2024, sebanyak 46 penalti dengan jumlah kompaun keseluruhan sebanyak RM6.55 juta telah dikenakan kerana ketidakpatuhan kepada MSQoS," katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pengujian liputan Pusat Pelancongan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC Bukhari Yahya.

Beliau berkata MCMC akan terus melakukan pemantauan dan aktiviti kawal selia serta tidak akan teragak-agak menguatkuasakan instrumen undang-undang yang diperuntukkan dalam memastikan penyedia perkhidmatan patuh dengan keperluan standard liputan MSQoS sedia ada. 

Fahmi berkata MCMC juga bekerjasama rapat dengan pengendali rangkaian mudah alih agar syarikat telekomunikasi di negara ini sentiasa berusaha menambah baik kualiti perkhidmatan rangkaian dan liputan.

"Semua penyedia perkhidmatan diminta untuk memberi perhatian serius dan pantas dalam menyelesaikan aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan