KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Keputusan muktamad pemilihan peringkat cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dimuktamad selewat-lewatnya 5 Mei ini selepas penelitian semua bantahan diterima.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) 2025 Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata proses penelitian akan dilaksana dengan cermat, adil dan berhemah demi menjaga integriti pemilihan parti yang akan diteruskan untuk pengundian peringkat nasional pada Mei depan.
"Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengambil maklum akan pembentangan laporan terkini oleh JPP 2025 mengenai kaedah penelitian keseluruhan proses pemilihan yang akan diambil ke atas bantahan yang diterima berhubung keputusan pemilihan peringkat cabang baru-baru ini.
"JPP akan memaklumkan lebih awal pemenang jawatan di peringkat cabang serta senarai perwakilan ke Kongres Nasional bagi cabang-cabang yang menang tanpa bertanding atau tidak mempunyai pertikaian yang munasabah mengikut penilaian JPP pada 1 Mei 2025," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata senarai itu akan diserahkan secara rasmi kepada pejabat Setiausaha Agung bagi tujuan penyelarasan dan persiapan Kongres Nasional, Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Kongres Wanita yang dijadualkan dari 23 hingga 25 Mei depan.
"Bagi cabang-cabang yang telah mengemukakan bantahan, proses penelitian masih berjalan dan setiap bantahan yang diterima melalui saluran rasmi JPP akan diteliti serta dipertimbang secara adil sebelum dimuktamad.
"JPP menyeru agar seluruh anggota parti untuk terus bertenang, memberikan kepercayaan kepada proses yang sedang dijalankan serta bersama-sama memastikan keharmonian dan perpaduan parti terus terpelihara," katanya.
Dr Zaliha juga berkata proses pengundian semula bagi empat cabang iaitu Jempol, Selayang, Silam serta Semporna akan diadakan pada 1 Mei ini dan notis pemakluman akan dikemukakan segera kepada cabang yang berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial