KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan kejayaan triple treble dengan menjuarai Piala Malaysia 2024/2025 selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, malam ini.
Penyerang prolifik skuad Harimau Selatan Bergson Da Silva dan pemain bintang sensasinya Arif Aiman Mohd Hanapi masing-masing meledak jaringan di babak kedua perlawanan, untuk menafikan gol pertama Sri Pahang yang dicetak T. Saravanan di awal separuh masa pertama.
JDT yang turun selaku juara bertahan hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi tandukan Oscar Arribas hasil sepakan sudut, namun pertahanan Sri Pahang Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak berjaya mengeluarkan bola di atas garisan gol.
Gol tunggal separuh masa pertama disumbangkan Saravanan pada minit ke-14, yang menyambar bola muntah selepas tandukan Aleksandar Cvetkovic gagal ditangkap kemas penjaga gol JDT Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, sekali gus mengejutkan pasukan lawan.
JDT dilihat menggandakan asakan selepas ketinggalan sebelum jaringan Da Silva pada minit ke-26 dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan beliau berada dalam posisi ofsaid ketika menerima hantaran sepakan percuma Arribas.
Penyerang import dari Brazil itu sekali lagi hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-31, namun rembatan derasnya sedikit tersasar di tepi gawang Sri Pahang.
Skuad Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad menerima tamparan hebat apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain, selepas penyerang naturalisasi Sergio Aguero dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-35.
Bersambung babak kedua, JDT memulakan permainan dengan penuh bersemangat sebelum percubaan Arif Aiman dari luar kotak penalti pada minit ke-47, berjaya ditepis keluar penjaga gol Sri Pahang Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.
Tidak lama kemudian, insiden dalam kotak penalti yang membabitkan pemain Sri Pahang Mohd Azril Nasrulhaq Badrul Hisham dan pemain import JDT Arribas, membawa kepada semakan VAR sebelum pengadil Razlan Joffri Ali menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT.
Bergson tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-54.
Bagaimanapun, skuad kendalian Hector Bidoglio itu turut terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Park Jun Heong, dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua hanya tiga minit kemudian.
JDT terus mengasak dan hampir menambah jaringan pada minit ke-65, namun Bergson gagal memanfaatkan peluang terbuka apabila rembatannya dari jarak dekat tersasar.
Usaha berterusan JDT akhirnya membuahkan hasil, apabila Arif Aiman yang menerima hantaran jauh mempamerkan kawalan bola cemerlang sebelum mencari ruang untuk melepaskan rembatan menewaskan Muhammad Zarif pada minit ke-73.
Sebagai rekod, triple treble merujuk kejayaan memenangi tiga kejuaraan utama Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, dalam satu musim.
Kedah muncul juara double treble pada 2007 dan 2008.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial