WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SILAP PAPARAN JALUR GEMILANG: TINDAKAN LANJUT SELEPAS LAPORAN LENGKAP KSU KPM - KSN

24/04/2025 10:23 PM

SEPANG, 24 April (Bernama) -- Tindakan sewajarnya akan diambil berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini selepas laporan lengkap diperoleh. 

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Dr Aminuddin Hassim telah diarahkan menyediakan laporan lengkap berhubung insiden itu.

"Saya rasa masalahnya bila nak reka bendera ini, kita kena reka betul-betul. Kena faham semangat bendera itu sendiri. Masalah timbul bila kita tak faham semangat itu," katanya kepada media pada majlis sesi meja bulat bersama KSN berhubung agenda nasional tadbir urus baik, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Shamsul Azri berkata reka bentuk bendera negara seharusnya dihasilkan dengan tangan dan kefahaman rakyat sendiri bukan bergantung sepenuhnya kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Kenapa nak pakai AI? Bendera negara, buat sendirilah. Kalau guna pun, kadang-kadang hasilnya salah, jalur makin melebar di tengah, itu tak betul. Cintai bendera anda, cintai negara anda," katanya. 

Beliau menegaskan bahawa sebarang rekaan simbol negara perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati.

"Apa sahaja yang kita hasilkan untuk dikeluarkan terutamanya bagi tujuan liputan media mesti disemak dengan teliti kerana benda macam ini tak sepatutnya berlaku," katanya. 

Beliau berkata sudah ada garis panduan rasmi dalam penggunaan Jalur Gemilang namun tapi kadang-kadang manusia tidak peka dan terlalu selesa sehingga berlaku kesilapan.

Terdahulu, KPM dilaporkan sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM yang diedarkan hari ini.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada layanan dua darjat dalam isu membabitkan insiden paparan bendera tidak lengkap dan siasatan akan dijalankan terhadap pihak terlibat. 

Anwar juga menegaskan bahan penerbitan berkaitan simbol negara tidak boleh bergantung kepada AI dan perlu melalui pemeriksaan teliti.

-- BERNAMA

 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan