LABUAN, 24 April (Bernama) -- Sebanyak 700 pesilat dari seluruh Malaysia dan Brunei mengambil bahagian dalam Kejohanan Silat Pantai Labuan 2025 yang merupakan penyertaan terbesar dalam sejarah penganjurannya.
Berlangsung dari 24 hingga 25 April di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, kejohanan selama dua hari itu merupakan antara tarikan utama dalam Cabaran Laut Antarabangsa Labuan 2025 (LISC).
Dianjurkan Persatuan Pencak Silat Kebangsaan (Pesaka) Labuan, kejohanan berkenaan menarik penyertaan pesilat pelbagai peringkat umur dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei yang mempamerkan bakat dan kemahiran mereka dalam seni mempertahankan diri tradisi Melayu itu.
Presiden Pesaka Labuan Khairul Ghani berkata kejohanan itu telah menjadi acara tetap dalam kalendar sukan Labuan, sentiasa menarik minat ramai peserta dan menjadi sebagai perhimpunan pesilat terbesar yang membezakannya berbanding acara seumpamanya di pulau berkenaan.
"Tahun ini merupakan penyertaan terbesar dan ini menonjolkan betapa acara ini telah berkembang dengan pesat, ia adalah detik kebanggaan bukan hanya bagi penganjur tetapi juga bagi komuniti sukan Labuan.
"Dianjurkan sebagai sebahagian daripada LISC 2025 yang berlangsung dari 22 hingga 27 April, kejohanan silat terbukti menjadi antara acara paling menarik dalam siri ini," katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran acara berkenaan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
Khairul menekankan bahawa acara berkenaan memainkan peranan penting dalam memelihara silat sebagai seni mempertahankan diri tradisional di pulau ini, memastikan warisan itu diteruskan generasi akan datang.
"Adalah penting untuk kita meneruskan kebanggaan dan identiti budaya melalui usaha seperti ini, terutamanya apabila pengaruh moden semakin berkembang," katanya.
Khairul berkata selain daripada sukan itu sendiri, kehadiran atlet, jurulatih, penyokong dan keluarga mereka telah memberikan lonjakan yang sangat dialu-alukan kepada sektor pelancongan Labuan.
Beliau berkata hotel, inap desa, penginapan Airbnb dan premis makanan turut menyaksikan peningkatan pelanggan yang menyumbang kepada ekonomi pulau itu.
Khairul berkata Kejohanan Silat Pantai Labuan 2025 menyuntik nilai budaya kepada keseluruhan kemeriahan LISC 2025, memperkukuh status Labuan sebagai pusat pelancongan sukan dan seni mempertahankan diri tradisional di rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial