PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkul Anugerah Media Tahun 2024 pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Zahrul Hakim Abdullah kepada Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus.
Dalam menzahirkan penghargaan kepada MDA atas anugerah itu, Nasriah berkata Bernama akan terus komited untuk menyampaikan berita tepat selain bekerjasama dengan agensi KKM bagi memberikan kesedaran mengenai isu kesihatan.
"Terima kasih MDA. Sebagai agensi berita, menjadi komitmen Bernama untuk menghasilkan kandungan berita yang berkualiti dan diharap lebih ramai pembaca cakna tentang isu kesihatan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah berkenaan di sini.
Sementara itu Editor Kandungan Bernama.Com Mohd Razman Abdullah ketika ditemui berkata kandungan portal berita Bernama semakin berkembang sejak 2018 hasil komitmen jitu daripada semua pihak, terutamanya di Jabatan Pengarang, Bernama.
"Tidak kira meja berita am, meja ekonomi atau meja rencana, pelbagai unit terlibat, semuanya menyumbangkan kandungan berita ke portal Bernama. Bermula dengan kira-kira 500 capaian, kini telah capai kepada 10 juta hingga 12 juta setiap tahun," katanya.
Sementara itu Ketua Eksekutif MDA Dr P. Muralitharan menyifatkan anugerah berkenaan sebagai penghargaan kepada agensi media yang memainkan peranan utama dalam menaikkan imej dan nama MDA menerusi penghasilan berita dan kandungan kreatif.
"Rakan media merupakan wajah MDA kepada masyarakat luar dan sunbangan anda amat dihargai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial