KANGAR, 23 April (Bernama) -- Seramai 141 peniaga mengalami kerugian berjumlah keseluruhan RM126,850 semasa Pesta Angin Timur Perlis 2025 (PAT 2025) yang berlangsung di Arau pada Februari lepas disebabkan tapak pesta berkenaan terjejas akibat hujan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata terdapat lima lot peniaga diperuntukkan pada PAT 2025 iaitu Lot Flora, Lot Kering, Lot Basah Special, Lot Basah dan Lot Trak Makanan.
“Bagi Lot Flora, jumlah kerugian sebanyak RM2,500, Lot Kering (RM13,500), Lot Basah Special (RM61,100), Lot Basah (RM45,750) dan Lot Food truck (RM4,000),” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks DUN di sini hari ini.
Abu Bakar menjawab soalan Wan Zikri Afthar Ishak (PN-Tambun Tulang) yang ingin tahu anggaran kerugian usahawan yang terkesan semasa penganjuran PAT 2025.
Pada 22 Feb lepas, Bernama melaporkan kawasan tapak bendang di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang di Arau yang menjadi lokasi penganjuran pesta dijadualkan bermula 21 hingga 23 Feb berselut tebal selepas hujan lebat melanda menyebabkan lokasi beberapa aktiviti terpaksa diubah.
PAT 2025 edisi ke-13 itu dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis yang dikelolakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis dan Majlis Kebudayaan Negeri Perlis.
Abu Bakar berkata susulan cuaca buruk itu, peniaga yang berdaftar dengan pihak penganjur dipindahkan ke Kompleks DUN bagi meneruskan jualan seperti biasa sehingga hari terakhir pesta.
Tindakan susulan pihak penganjur terhadap peniaga yang mengalami kerugian itu diselaraskan oleh pihak Event Organizer (EO) iaitu Syarikat Lanai Kijang Enterprise melalui bayaran sagu hati sebanyak RM35,800 kepada peniaga berkenaan.
Sementara itu, Abu Bakar berkata penjenamaan dan penstrukturan semula pesta itu bakal dicadangkan untuk edisi akan datang, membabitkan pendekatan yang lebih inklusif, dinamik, produktif, serta berteraskan identiti negeri.
“Sebab kita tengok Pesta Angin Timur ini selama lebih sedekad (iaitu penganjuran sudah) 13 tahun, jadi kita perlu membuat penjenamaan semula … (antaranya) dari segi tempoh masa perlu kita lebihkan iaitu sekurang-kurangnya dua minggu.
“(Selain itu), dari segi kepelbagaian kita nak tonjolkan aktiviti kebudayaan kepada masyarakat luar, bukan sekadar kita beri peluang kepada masyarakat Perlis,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial