WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TARIF AS ANCAM PERANAN MALAYSIA DALAM RANTAIAN BEKALAN TENAGA BERSIH GLOBAL - FMM

23/04/2025 03:30 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Duti dikenakan terhadap solar dari Asia Tenggara oleh Amerika Syarikat (AS) akan mempunyai implikasi besar ke atas pangkalan pembuatan di seluruh rantau ini, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata Malaysia secara khususnya telah lama menjadi hab utama dalam rantaian bekalan solar global, menghasilkan produk solar photovoltaic (PV) terutamanya sel dan modul untuk eksport ke pasaran utama seperti AS dan Eropah

"Ini mungkin mengganggu perancangan pengeluaran dan memaksa syarikat untuk mempertimbangkan semula pelaburan yang sedang berjalan atau dirancang.

"Dalam sesetengah kes, kilang mungkin terpaksa menghentikan pengeluaran, menangguhkan rancangan pembesaran atau berpindah untuk mengelakkan tekanan kos punitif seandainya senario terburuk berlaku. Justeru, ini menimbulkan implikasi serius terhadap kedudukan Malaysia sebagai destinasi pembuatan tenaga bersih," kata Soh kepada Bernama.

Pada Isnin, kerajaan AS mengenakan duti import baharu ke atas panel solar dari Malaysia dan tiga negara lain berikutan faedah diperoleh menerusi subsidi China dan penetapan harga yang tidak adil.

Menurut Soh, keputusan AS baru-baru ini bukanlah langkah tarif baharu tetapi hasil penyiasatan anti-lambakan dan duti balas dijalankan di bawah undang-undang remedi perdagangan AS.

"Tarif ini dikenakan kepada syarikat tertentu berdasarkan penemuan penetapan harga atau subsidi tidak adil dan bukannya dikenakan sebagai tarif menyeluruh terhadap semua import dari rantau ini," katanya.

Soh menjelaskan bahawa industri solar Malaysia terdedah dengan ketara kepada tindakan perdagangan AS memandangkan pergantungan eksportnya.

Bagaimanapun, sejauh mana kesannya bergantung kepada sama ada pengeluar mengambil bahagian dalam penyiasatan dan bekerjasama dengan Jabatan Perdagangan AS.

"Syarikat yang memberi kerjasama sepenuhnya dan menyediakan dokumentasi diperlukan mungkin menerima duti lebih rendah.

"Sebaliknya, pengeluar yang tidak bekerjasama menghadapi risiko diberi kadar tertinggi, mengukuhkan kepentingan kritikal penyertaan aktif dalam proses pemulihan perdagangan untuk melindungi kepentingan Malaysia dan daya maju komersial," katanya.

Selain itu, Soh mencadangkan supaya kerajaan mengukuhkan rangka kerja institusi Malaysia untuk bertindak balas terhadap tindakan remedi perdagangan dengan mewujudkan mekanisme amaran awal, mendapatkan sokongan nasihat perundangan diselaraskan dan strategi perwakilan bersama.

Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai pula berkata impak kepada syarikat solar tempatan Malaysia mungkin tidak begitu ketara kerana panel solar dibuat kebanyakannya oleh syarikat China yang melabur di Malaysia.

"Kesannya hanya kepada syarikat China, justeru mereka mungkin perlu memindahkan pengeluaran mereka ke negara lebih neutral (berkecuali) dan tarifnya rendah.

"Sesetengah syarikat China yang membuat panel solar telah pun menamatkan pengeluaran mereka di Malaysia sejak tahun lepas kerana tempahan sudah berkurangan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan