Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Sektor solar Malaysia tidak mungkin terjejas dengan ketara berikutan duti import baharu Amerika Syarikat (AS), memandangkan syarikat tempatan lazimnya tidak mengeluarkan panel solar untuk tujuan eksport.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Plus Xnergy Sdn Bhd Ko Chuan Zhen berkata permintaan tenaga hijau tempatan kekal kukuh di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang bermatlamatkan untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh baharu dalam kombinasi tenaga di Malaysia menjelang 2050.
“Perubahan baharu duti import ini tidak memberi kesan kepada kami dalam mencapai matlamat NETR.
“Syarikat-syarikat Malaysia terutamanya tidak akan terjejas kerana kami bukan pengeluar (panel solar),” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Plus Xnergy merupakan penyedia penyelesaian tenaga bersih untuk projek-projek komersial, industri, kediaman dan skala utiliti.
Pada Isnin, AS dilaporkan mengenakan duti import baharu setinggi 3,521 peratus ke atas import panel solar dari Malaysia dan tiga negara Asia Tenggara yang lain, dengan mendakwa syarikat dari negara-negara itu memperoleh manfaat daripada subsidi China dan penetapan harga yang tidak adil.
Keputusan itu susulan daripada tindakan Jabatan Perdagangan AS tahun lalu yang mengenakan duti antilambakan dan duti timbal balas awal ke atas peralatan solar dari Malaysia, Kemboja, Thailand dan Vietnam.
"Pembuatan panel solar lebih kepada perniagaan hiliran. Kebanyakan syarikat Malaysia yang terlibat dengan tenaga solar aktif dalam aktiviti hiliran seperti kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC), serta pembangunan projek," kata Ko.
Beliau berkata duti import baharu AS ke atas panel solar akan memberi kesan terutamanya kepada eksport, yang kebanyakannya datang daripada pengeluar China dan tidak akan memberi kesan langsung kepada ekosistem tenaga solar tempatan.
Sehubungan itu, Ko percaya ekosistem tenaga solar tempatan bersedia untuk pertumbuhan kerana terdapat permintaan yang stabil bagi tenaga bersih dalam negara.
Beliau juga berkata bahawa Malaysia akan terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) daripada syarikat-syarikat yang mencari penyelesaian tenaga bersih untuk operasi mereka di rantau ini.
"Permintaan tempatan untuk tenaga boleh baharu dijangka meningkat seiring dengan peningkatan dalam keperluan tenaga, sambil terus memacu pelaburan ke dalam infrastruktur tenaga bersih," kata Ko.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial