WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN NAZRIN BERKENAN RASMI GERBANG SURIA UPSI

23/04/2025 02:22 PM

TANJONG MALIM, 23 April (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Gerbang Suria Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu dewan terbuka yang dibina berasaskan sistem solar, pertama seumpamanya di Malaysia. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Pro Canselor UPSI Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid dan Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff.

Dalam sembah ucapannya, Md Amin berkata gagasan daripada titah Sultan Nazrin telah memberi inspirasi kepada penyelidik UPSI bersama Syarikat Synergy Generated dan UPSI Holdings Sdn. Bhd. untuk membina sebuah Gerbang Suria ataupun dewan solar mega dengan keluasan lebih 12,500 kaki persegi.

“Gerbang Suria UPSI berkonsepkan zero capex ini berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 2,800 tan setahun, menjimatkan kos pembinaan sebanyak RM5 juta.

“Selain itu, ia menjimatkan bil elektrik RM2 juta setahun, menjimatkan sewaan khemah upacara sebanyak RM500,000 setahun, dan mampu menjana hingga RM350,000 setahun melalui sewaan pelbagai program yang dilaksanakan di gerbang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif Gerbang Suria itu juga bakal menjadi pemangkin kepada lonjakan pencapaian UPSI dalam meraih pengiktirafan Anugerah Bandar Rendah Karbon serta UI GreenMetric World University Rankings

“Inisiatif moden ini bukan sekadar mercu tanda fizikal, tetapi simbol komitmen lestari yang menyinar ke arah inisiatif hijau bertaraf dunia di Negeri Perak Darul Ridzuan. 

“Sejajar dengan aspirasi di dalam buku nukilan Tuanku, Globalisation, Perak’s Rise, Relative Decline and Regeneration,” katanya.

Sementara itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI, Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Singapore University of Social Sciences (SUSS) dalam bidang penyelidikan, pendidikan, perundangan dan latihan ekonomi penjagaan.

Baginda berdua juga berkenan menghadiri majlis santapan bersempena Sambutan Aidilfitri UPSI 2025   dan melawat gerai juadah.   

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan