WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIADA RAKYAT MALAYSIA TERLIBAT DALAM INSIDEN SERANGAN MAUT DI KASHMIR

23/04/2025 10:56 AM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden serangan maut di Pahalgam, Kashmir pada Selasa, menurut Kementerian Luar atau juga kenali sebagai Wisma Putra.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata pihaknya, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, sedang memantau rapi perkembangan itu susulan serangan bersenjata di destinasi pelancongan popular itu.

“Berdasarkan laporan terkini daripada pihak berkuasa, tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian itu namun keadaan sedang dipantau dengan teliti.

“Suruhanjaya Tinggi telah menghubungi ketua kumpulan agensi pelancongan dari Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi dan kini berada di Kashmir. Ketua kumpulan tersebut telah melaporkan bahawa mereka berada dalam keadaan selamat,” menurut kenyataan itu.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 26 orang terkorban apabila sekumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah pelancong di Pahalgam, destinasi pelancongan terkenal di selatan Kashmir, pada Selasa. Pihak berkuasa menyifatkan serangan itu sebagai antara yang paling buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Anadolu Ajansi melaporkan bahawa kebanyakan mangsa merupakan warga India dari pelbagai negeri, namun pihak berkuasa masih belum mendedahkan butiran penuh mengenai latar belakang mangsa.

Sementara itu, Kementerian Luar memaklumkan ia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau situasi dan memastikan keselamatan semua warga Malaysia di kawasan terlibat.

“Warga Malaysia di Kashmir dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Kementerian juga akan terus memberikan perkembangan terkini sekiranya perlu dan menasihatkan supaya semua perjalanan tidak penting ke wilayah berkenaan ditangguhkan.

Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di alamat 50-M, Satya Marg, Chanakyapuri, New Delhi, melalui telefon di +91-11-2415 9300 / +91-11-2415 9311 (Konsular) / +91-11-2688 1538 atau melalui emel di mwdelhi@kln.gov.my.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan