TAPAH, 19 April (Bernama) -- Dakwaan pembangkang berhubung kandang babi haram berhampiran Kampung Tanjung Keramat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan dijawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak minggu depan, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata perkara itu akan dijawab oleh Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan pada sesi pengulungan sidang DUN Perak.
Saarani yang juga Pengerusi BN Perak mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning supaya tidak melakukan sebarang provokasi sepanjang tempoh berkempen, meskipun parti lawan kerap memainkan sentimen sensitif dalam kempen mereka.
“Janganlah kerana pilihan raya ini, kerana provokasi yang melampau, menyebabkan berlakunya pertelingkahan dalam kalangan masyarakat setempat. Saya sebagai Menteri Besar, saya nak mentadbir negeri ini dengan penuh rasa kasih sayang dan aman damai,” katanya.
Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Belia Malaysia (MAYC) Perak di Kompleks Sukan Tapah di sini hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan kempen BN, Saarani berkata satu mesyuarat Jawatankuasa Induk BN akan diadakan untuk meneliti dan memuktamadkan intipati manifesto parti itu malam ini.
Beliau berkata pada mesyuarat itu, calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir akan membentangkan aspirasinya serta cadangan pembangunan Ayer Kuning, sebelum manifesto berkenaan dibentangkan kepada umum.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan berkata kandang babi terbabit telah lama wujud dan selama ini, tiada bantahan besar penduduk berhubung perkara berkenaan.
“Kandang babi itu telah lama wujud dan takkan selepas 50 tahun dan ketika pilihan raya, baru mereka sedar? Kalau betul mereka mahu jadi hero rakyat, sepatutnya mereka mulakan awal dan bukannya tunggu ada PRK," katanya ketika menghadiri kejohanan bola sepak Piala Datuk Seri M. Saravanan di sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial