WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PERAK SEDIA MUDAH CARA URUSAN TANAH PROJEK NAIK TARAF ICQS BUKIT BERAPIT

18/04/2025 11:34 AM

IPOH, 18 April (Bernama) -- Kerajaan Perak bersedia untuk memudah cara urusan berkaitan tanah yang akan dimohon oleh Kementerian Dalam Negeri bagi pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu yang baharu.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri perlu memastikan isu keselamatan sempadan dan kedaulatan negeri diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum merancang pembangunan ekonomi dan komersial di kawasan sekitar kompleks tersebut.

“Selain itu, kerajaan negeri akan menyokong dan meneruskan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta untuk menggalakkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi di kawasan Pengkalan Hulu, seperti mana yang dihasratkan dalam beberapa rancangan pemajuan seperti Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan Daerah serta Kajian Sempadan Antarabangsa Malaysia-Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Amin Roslan (Pengkalan Hulu-PN) yang ingin tahu komitmen kerajaan negeri bagi mempercepatkan pembangunan semula gerai sempadan dan pelabuhan darat di Pengkalan Hulu pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata kerja-kerja menaik taraf ini bermula pada suku pertama 2025 dan dijangka berakhir pada suku ke tiga 2026.

Beliau berkata setelah kerja-kerja menaik taraf ini selesai, kawasan tersebut akan diserahkan semula kepada Majlis Daerah Pengkalan Hulu.

Pembangunan ICQS Bukit Berapit yang baharu telah diumumkan kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2025 dan dijangka akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Pembinaan Kompleks ICQS baharu tersebut yang lebih hampir dengan pintu sempadan, bakal menyelesaikan isu keselamatan melibatkan akses keluar dan masuk sempadan negara, dan secara langsung memberi peluang untuk pembangunan aktiviti ekonomi di kawasan sekitarnya.

Kerajaan negeri menjangkakan kerja-kerja naik taraf itu akan menyokong sektor pelancongan di Pengkalan Hulu dan menggalakkan kemasukkan pelancong dari Thailand, selain membuka peluang kepada warga tempatan menjana pendapatan melalui perniagaan di kawasan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan