WILAYAH - UTARA > BERITA

GOLDEN MELON JADI PUNCA REZEKI MAAHAD TAHFIZ

19/04/2025 12:10 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

TAPAH, 19 April (Bernama) -- Bagi mendapatkan dana menampung kos operasi, Maahad Tahfiz Al-Ahmad, Kampung Kassim di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman golden melon jenis Sea Sweet Golden Melon.

Maahad tahfiz yang menempatkan lebih 40 pelajar asnaf secara percuma itu mula menanam 1,000 pokok golden melon pada 2023 yang diusahakan oleh guru dan pelajar, dengan hasil buah itu dijual terus kepada penduduk tempatan, selain dijual menerusi platform TikTok.

Guru kanan pentadbiran maahad tahfiz berkenaan Shrol Hisam Mahayudin berkata usaha institusi itu mendapat perhatian kerajaan yang menyuntik dana RM100,000 menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) pada Oktober tahun lepas.

“Program SejaTi MADANI ini benar-benar mengubah landskap kehidupan kami. Ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi semangat yang membakar jiwa kami untuk terus berusaha,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ladang fertigasi berkeluasan 0.08 hektar di tanah wakaf itu kini mempunyai 2,500 pokok Sea Sweet Golden Melon yang mampu menjana pendapatan hampir RM80,000 setahun.

Shrol Hisam berkata golden melon ini mempunyai empat kitaran penanaman, dengan setiap kitaran mampu menghasilkan 1,600 biji yang dijual pada harga RM15 sekilogram.

Beliau berkata golden melon yang ditanam adalah varieti premium diimport dari Jepun, terkenal dengan rasa manis luar biasa dan tekstur lembut.

Buah yang dihasilkan mencatatkan tahap kemanisan antara 15 hingga 16 Brix (hampir menyamai skala maksimum 20 Brix untuk buah-buahan), sekali gus menjadikannya antara golden melon berkualiti tinggi.

Mengulas lanjut, Shrol Hisam berkata bantuan pelbagai agensi termasuk Pejabat Pertanian Daerah Batang Padang dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mempercepatkan transformasi ladang itu, merangkumi penyediaan kemudahan mesin untuk memindahkan air dan pembangunan sistem pembajaan moden.

Beliau berkata ladang itu mengaplikasikan sistem pertanian pintar berasaskan internet kebendaan, termasuk sistem pembajaan automatik yang boleh dikawal melalui telefon pintar.

Selain itu, Shrol Hisam berkata pihaknya turut memainkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran secara 24 jam menerusi pembesar suara di kawasan tanaman yang bukan sahaja menenangkan suasana, malah memberi kesan positif terhadap pertumbuhan dan hasil tanaman.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya merancang membina bangunan baharu dua tingkat yang dilengkapi asrama dan dewan, selain memperluaskan lagi ladang golden melon itu dalam fasa pembangunan akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Datuk Mahfuz Omar ketika ditemui berkata kerajaan menyediakan pelbagai insentif kepada pihak yang mahu mengembangkan projek pertanian atau menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

Insentif itu melibatkan program Agri Perintis, Agropreneur Muda dan Rise Up, yang masing-masing menyediakan geran permulaan serta bantuan padanan kewangan berdasarkan keperluan dan tahap perkembangan projek usahawan.

Beliau turut menarik perhatian terhadap peningkatan minat dalam kalangan golongan muda dan profesional untuk menceburi bidang pertanian, termasuk mereka yang sebelum ini mengalami ketidakpadanan antara bidang pengajian dan kerjaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan