KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) merangkul Anugerah Wanita Dalam Teknologi pada Pertandingan Huawei ICT Peringkat Asia Pasifik 2024-2025, sekali gus menyerlahkan kemampuan Malaysia membangunkan bakat wanita dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Huawei Malaysia dalam kenyataan memaklumkan bakat teknologi wanita dari UM Cheu Zi Yuan, Kek Yi Ci dan Chew Ying diberi penghormatan atas inovasi dan kecemerlangan mereka dalam bidang berkenaan.
Pertandingan akhir peringkat serantau yang berlangsung di Kuala Lumpur itu menghimpunkan lebih 110 peserta dari 12 negara dan rantau termasuk Hong Kong dan Macau. Para peserta bersaing dalam empat bidang utama iaitu Rangkaian, Awan, Pengkomputeran dan Inovasi.
Pertandingan itu turut mengiktiraf kecemerlangan melalui tiga anugerah khas iaitu Anugerah Wanita Dalam Teknologi, Kemasukan Digital TECH4ALL serta Anugerah Pembangunan Hijau dan Anugerah Pengajaran.
“Inovasi tidak mengenal jantina. Teknologi adalah untuk semua orang, ia boleh menyelesaikan masalah dan memberi impak yang nyata,” kata Cheu, yang meluahkan kegembiraannya atas kemenangan itu.
Lebih 8,000 pelajar menyertai peringkat saringan serantau, namun hanya 35 pasukan terbaik mara ke pusingan akhir Asia Pasifik. Acara sehari itu menandakan peristiwa penting bagi pembangunan bakat ICT di rantau Asia Pasifik.
UM turut dianugerahkan Hadiah Ketiga dalam Trek Awan, menjadikannya antara beberapa institusi yang mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat akhir.
Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang secara keseluruhan dengan Universiti Sains Malaysia memenangi Hadiah Pertama dalam Trek Inovasi, manakala Universiti Tunku Abdul Rahman dan Universiti Malaysia Sabah memperoleh Hadiah Ketiga dalam Trek Pengkomputeran. Universiti Putra Malaysia mendapat tempat Ketiga dalam Trek Rangkaian.
Acara dianjurkan bersama Huawei dan Yayasan ASEAN di bawah tema ‘Ketersambungan, Penghormatan dan Masa Depan’ itu diserikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Naib Presiden Rantau Asia Pasifik Huawei Alex Zhang berkata pertandingan itu menjadi platform untuk menghubungkan pelajar dengan dunia sebenar serta memacu inovasi dan kerjasama rentas sempadan.
“Huawei akan terus bekerjasama dengan industri dan akademik untuk membina ekosistem pembelajaran yang mampan, membekalkan pemimpin ICT masa depan dengan teknologi utama seperti 5G, AI dan pengkomputeran awan,” katanya.
Pertandingan peringkat kebangsaan - Pertandingan Huawei ICT Malaysia 2024-2025 yang berlangsung pada Disember 2024, menarik penyertaan lebih 1,200 peserta daripada 40 universiti awam dan swasta di seluruh negara.
Kenyataan itu memaklumkan pemenang Hadiah Utama termasuk pasukan dari Indonesia, Filipina, Vietnam dan Kemboja layak ke Peringkat Akhir Global yang akan diadakan di Shenzhen akhir tahun ini.
Anugerah khas lain turut dimenangi Universiti Nasional Singapura (Kemasukan Digital TECH4ALL), Universiti Teknologi Brunei (Pembangunan Hijau) dan APTIKOM dari Indonesia (Anugerah Pengajaran).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial