WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERJANJIAN DAGANGAN DUA HALA ANTARA TOPIK PERBINCANGAN MALAYSIA-AS, KATA MITI

25/04/2025 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Malaysia telah menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) dalam empat bidang utama -- mengurangkan defisit dagangan, menangani halangan bukan tarif, memperkukuh perlindungan dan keselamatan teknologi serta meneroka potensi perjanjian perdagangan dua hala.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataannya pada Jumaat berkata Malaysia turut berkongsi kesediaannya untuk terus bekerjasama dengan AS bagi mencapai penyelesaian dipersetujui bersama membabitkan perkara tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengetuai delegasi Malaysia untuk bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS Duta Jamieson Greer di Washington DC pada Khamis yang membabitkan isu tarif timbal balas dikenakan ke atas Malaysia.

“Malaysia menyambut baik tempoh penangguhan cadangan tarif selama 90 hari baru-baru ini dan menganggapnya sebagai peluang untuk proses libat urus yang lebih konstruktif.

“Selain itu, Malaysia juga telah menyatakan secara terbuka bahawa ia tidak akan mengambil tindakan balas terhadap AS, namun bersedia untuk bekerjasama bagi mencapai persetujuan bersama mengenai kebimbangan yang dibangkitkan oleh pentadbiran Trump," katanya.

Menjelaskan selanjutnya, MITI berkata dalam kedua-dua mesyuarat itu, penekanan diberikan ke atas peranan AS yang selama ini dan akan terus menjadi antara rakan ekonomi Malaysia yang utama serta strategik.

Peranan itu, kata MITI, jelas terbukti apabila syarikat-syarikat AS sejak beberapa dekad lamanya telah memberi sumbangan besar terhadap ekonomi Malaysia, malah hubungan itu memberi manfaat ketara ke atas perniagaan dan barisan pekerja di kedua-dua negara.

“Pada masa sama, kita turut mengetengahkan prestasi perdagangan dua hala kukuh sejak 10 tahun lepas yang telah menjadi lebih seimbang, terutama apabila defisit dagangan dicatatkan AS telah menunjukkan arah aliran penurunan, sekali gus mencerminkan perubahan bermanfaat dalam perdagangan dua hala," katanya.

Sehubungan itu, MITI berkata Malaysia akan terus meninjau kaedah alternatif bagi menangani kebimbangan AS selain memastikan kelangsungan aliran perdagangan Malaysia-AS yang memberi manfaat bersama.

Sementara itu, berkongsi sentimen sama, Tengku Zafrul menyifatkan pertemuan pertama dengan Lutnick dan Greer sebagai “langkah pada haluan yang tepat.”

“Kita akan terus mengekalkan momentum in dengan melakukan langkah susulan segera ke atas beberapa isu utama yang dibincangkan sejak bermulanya tempoh penangguhan tarif itu.

“Malaysia turut menegaskan bahawa semua saluran komunikasi kekal terbuka dan akan terus berusaha ke arah mencapai penyelesaian bersama,” katanya.

Di samping itu, MITI berkata perbincangan turut menumpukan bagaimana AS dapat bekerjasama lebih erat dengan ASEAN, terutama seiring kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini yang menjadi peluang tepat pada masanya dalam memajukan matlamat bersama serta bagi kestabilan serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan