SUKAN > BERITA

KEMUNCULAN PICKLEBALL WAJAR DIRAIKAN PEMINAT SUKAN TEMPATAN

25/04/2025 04:32 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar dan Muhammad Afiff Md Adnan

 

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Pickleball mencetuskan gelombang baharu, sekali gus memberikan pilihan kepada masyarakat untuk menceburkan diri dalam sukan yang semakin mendapat tempat di Malaysia dan berkembang di peringkat global itu.

Susulan kemudahan sukan yang semakin banyak, pickleball berpotensi berkembang menjadi alternatif kepada sukan raket tradisional, lebih-lebih lagi ia dilihat lebih menyeronokkan dan mudah diakses oleh segenap lapisan masyarakat.

Maka, tidak hairanlah terdapat segelintir individu di media sosial terutamanya peminat sukan raket seperti badminton dan tenis yang seakan-akan ‘kurang senang’ dengan kehadiran sukan berkenaan.

Kebimbangan mereka itu mungkin ada asasnya kerana difahamkan terdapat pihak yang bermain pickleball atau pemilik fasiliti bertindak menukar gelanggang raket tradisional kepada sukan yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) itu.

Di sebalik kegusaran segelintir peminat berkenaan, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk V. Subramaniam berkata orang ramai sepatutnya meraikan sukan berkenaan yang dianggap masih ‘hijau’ di negara ini.

Beliau juga mengakui tidak faham kenapa sesetengah pihak menganggap pickleball seolah-olah memberi ancaman kepada sukan badminton.

Subramaniam berkata badminton dan tenis adalah dua sukan berbeza, sekali gus tidak wajar bimbang dengan kemunculan sukan baharu itu. 

“Ini menarik kerana badminton adalah sukan yang mengerah keringat, manakala pickleball tidak begitu, bukan? Badminton ialah badminton. Pickleball ialah pickleball.

“Pada masa hadapan, mungkin akan ada banyak sukan baharu yang muncul tetapi saya tidak nampak bagaimana ia menjadi ancaman kepada badminton dan tiada apa yang salah. Saya mengalu-alukan semua jenis sukan kerana ia satu-satunya perkara yang saya boleh katakan mampu menyatukan orang ramai,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Lawn Tenis Kuala Lumpur Maria Fauzana Ghazali mengakui pickleball sedikit sebanyak memberikan ‘ancaman’ kepada perkembangan bakat dalam sukan tenis.

Maria berkata populariti pickleball sememangnya tidak dapat disangkal kerana sukan itu mudah untuk dimainkan di semua peringkat umur.

“Sukan pickleball ini orang boleh belajar dengan cepat. Macam tenis kalau anda tidak main daripada kecil, agak susah sikit. 

“Jadi (pencinta tenis) takut bila jadi sebegini, orang ramai akan lebih tumpu kepada pickleball. Mungkin ancaman dari segi bakat, namun aspek lain saya rasa okay sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Eksekutif Persatuan Lawn Tenis Malaysia berkata orang ramai sepatutnya menyambut baik pickleball kerana ia juga sebahagian daripada pilihan gaya hidup sihat.

“Kita perlu meraikan (pickleball) kerana semua orang dapat bermain. Kenapa kita nak halang mereka? Ini antara cara orang ramai untuk menjaga kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis sukan tempatan Mohd Sadek Mustafa berkata pickleball memberi peluang kepada orang ramai khususnya generasi baharu untuk bergiat aktif dalam sukan.

Bukan itu sahaja, beliau optimis pickleball mampu memberi banyak faedah kepada masyarakat dan industri sukan tanah air khususnya dari segi membantu pertumbuhan ekonomi negara menerusi aspek pemasaran dan peralatan sukan.

Pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu juga tidak melihat pickleball sebagai faktor yang menggugat kedudukan sukan raket lain.

“Sukan-sukan raket yang sudah lama bertapak seperti badminton dan tenis tiada masalah untuk terus diminati.

“Ini kerana daripada aspek pemasaran sukan itu (badminton dan tenis) sendiri telah berkembang begitu luas. Jadi, ia tidak akan mengganggu sukan-sukan sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan