KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Sejumlah 1,089 anggota dan pegawai polis ditugaskan sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping selama tiga hari ke Malaysia, bermula esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata anggota dan pegawai terlibat adalah dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan turut dibantu Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman.
Beliau berkata penugasan ini melibatkan pelbagai unit antaranya Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
“Seperti kenyataan media yang disiarkan, Presiden China akan menginap di sebuah hotel di Putrajaya. Antara penugasan utama sepanjang beliau menginap di hotel berkenaan, jalan akan ditutup sepenuhnya di lebuh raya kiri dan kanan dalam tempoh tertentu, paling kurang 30 hingga 40 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur antara bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob dan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur baharu Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad di IPK Kuala Lumpur, hari ini.
Rusdi berkata pasukannya bersiap siaga sepenuhnya bagi menerima lawatan ketua negara asing paling berprofil tinggi ke negara ini sekali gus mencatat sejarah penting dalam hubungan dua hala.
Sebelum ini, Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata 17 laluan dikenal pasti akan mengalami penutupan sementara antara 30 hingga 45 minit bergantung pergerakan delegasi.
Antara laluan yang akan ditutup pada 6 petang esok adalah Lebuh KLIA, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menerusi hantaran di Facebook PDRM turut dilaporkan melakukan sendiri tinjauan dari udara bagi memastikan kesiapsiagaan keselamatan berada pada tahap tertinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial