KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kekerapan perkhidmatan KLIA Transit antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditingkatkan bagi menampung keperluan penumpang susulan penutupan jalan sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia bermula hari ini.
KLIA Ekspres menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kekerapan tren ditambah kepada setiap 15 minit pada waktu puncak dari 3 petang hingga 8 malam hari ini, dengan kekerapan sama dijadualkan pada waktu puncak pagi dari 6 hingga 11 pagi Khamis.
“Pengembara ke dan dari lapangan terbang digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan tren tambahan ini bagi perjalanan yang lebih lancar dan boleh dipercayai,” menurut kenyataan itu.
Lawatan Xi adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menandakan kesinambungan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang telah terjalin selama lebih lima dekad.
Ini adalah lawatan rasmi kedua Xi ke Malaysia selepas lawatan pertamanya pada 2013.
Pesawat khas yang membawa pemimpin China itu dijadualkan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebanyak 17 laluan di sekitar Lembah Klang akan terbabit penutupan sementara selama 30 hingga 45 minit pada Selasa hingga Khamis ini bagi memberi laluan kepada delegasi, sebelum dibuka semula.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial