WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PGA GAGALKAN CUBAAN SELUDUP LEBIH 4,000 ANAK POKOK DI PASIR MAS

18/04/2025 11:17 AM

KOTA BHARU, 18 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menggagalkan cubaan menyeludup 4,050 pelbagai jenis anak pokok di dua lokasi berasingan di Pasir Mas menerusi Op Taring Wawasan, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan pertama dilakukan sekitar 8.30 malam di Kampung Parit Air, Rantau Panjang apabila anggota pasukan menahan sebuah lori yang membawa 2,500 pelbagai jenis anak pokok.

“Hasil pemeriksaan mendapati anak-anak pokok itu disyaki mengandungi serangga perosak dan penyakit. Pemandu lori, seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun, gagal mengemukakan dokumen sah dan tanaman itu disyaki diseludup dari Thailand,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM525,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata pihaknya turut menahan sebuah lori yang membawa 1,550 pelbagai jenis anak pokok sekitar 6.30 petang di Jalan Besar Rantau Panjang-Pasir Mas.

“Pemeriksaan mendapati pokok-pokok itu juga disyaki mengandungi serangga perosak dan penyakit. Pemandu lelaki tempatan berumur 33 tahun, juga gagal menunjukkan sebarang dokumen dan tanaman dipercayai diseludup dari Thailand,” katanya.

Beliau berkata nilai rampasan kedua dianggarkan RM382,000 termasuk lori dan kes turut disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.

“Kesemua suspek serta barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan