WASHINGTON, 15 April (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Jumlah pelarian dan migran di seluruh dunia hampir berganda dalam tempoh 30 tahun lalu, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa.
“Sehingga 2024, jumlah migran dan pelarian yang disahkan di peringkat global mencecah 304 juta orang atau 3.7 peratus daripada populasi dunia, jumlah yang hampir dua kali ganda berbanding 1995, dengan kira-kira satu daripada enam orang adalah pelarian atau pemohon suaka,” menurut IMF dalam satu bab laporan World Economic Outlook yang dibentangkan menjelang Mesyuarat Musim Bunga IMF dan Bank Dunia di Washington.
Hampir 40 peratus daripada migran dan tiga perempat pelarian kini menetap di pasaran membangun dan ekonomi sedang pesat membangun, menurut laporan itu lagi.
IMF turut menyatakan yang ekonomi maju masih menjadi tuan rumah kepada kumpulan migran terbesar, kebanyakannya berasal dari negara membangun dan ekonomi sedang meningkat naik.
“Aliran ke negara maju merangkumi sebahagian besar pergerakan global pada lewat 1990-an dan awal 2000-an. Namun sejak itu, aliran migran dan pelarian antara ekonomi sedang pesat membangun meningkat dan kini mewakili hampir separuh daripada jumlah keseluruhan aliran bersih, dengan tiga daripada lima peningkatan terbesar dalam bilangan migran dan pelarian antara 2010 hingga 2024 berlaku di negara membangun utama,” menurut laporan itu lagi.
IMF turut memberi amaran yang perubahan dasar berkaitan migrasi dan pelarian boleh memberi kesan besar ke atas aliran pergerakan antara dan dalam sesebuah ekonomi.
“Namun, penting untuk dinyatakan yang aliran ini hanya mewakili bahagian kecil populasi dalam ekonomi maju iaitu purata kira-kira dua peratus dalam tempoh lima tahun,” menurut laporan itu.
Laporan turut menyatakan yang perubahan dasar boleh membawa kos jangka pendek, terutama jika aliran migrasi beralih ke pasaran yang berdepan cabaran integrasi tenaga kerja atau ketidaksesuaian kemahiran. Namun begitu, ia juga berpotensi memberi manfaat jangka panjang.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial