WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MANGSA BANJIR DI SELANGOR, JOHOR MENURUN, SABAH KEKAL

13/04/2025 10:59 AM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Keadaan banjir di Selangor dan Johor menunjukkan perkembangan positif pagi ini apabila jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan, manakala situasi di Sabah kekal tidak berubah.

Di SELANGOR, jumlah mangsa di negeri itu terus mencatatkan penurunan kepada 218 mangsa daripada 63 keluarga berbanding 353 orang daripada 100 keluarga petang semalam.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat hanya empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi iaitu PPS Dewan Kenanga, SK Shah Alam Seksyen 16 dan SMK Seksyen 16 di Shah Alam serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya Camelia (MBSJ) di Subang Jaya.

Di JOHOR, mangsa berkurangan kepada 177 orang daripada 58 keluarga sehingga 8 pagi ini berbanding 199 mangsa daripada 63 keluarga petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata satu PPS dibuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading, Batu Pahat bagi menempatkan mangsa berkenaan.

Menurutnya, mangsa merupakan penduduk Kampung Baharu Sri Gading; Kampung Parit Bengkok; Kampung Parit Kaspan; Kampung Parit Samion; Kampung Parit Haji Salleh Ros; Kampung Parit Sri Muar; Kampung Sri Pandan dan Kampung Parit Samijan.

Di SABAH, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal seramai 683 orang daripada 186 keluarga dari dua daerah iaitu Nabawan dan Sook setakat 8 pagi ini.

Kenyataan itu memaklumkan kesemua 471 orang daripada 116 keluarga di Nabawan dipindahkan di enam PPS manakala 212 orang daripada 70 keluarga pindahkan ke dua PPS di Sook.

Enam PPS dibuka sejak Jumaat lepas di Nabawan ialah Dewan Kampung Bahagia, Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan dan Balai Budaya Kabangawong, Balai Budaya Kamoung Sarikan, Balai Budaya Kampung Saupi dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pandiwan manakala di Sook Dewan Kampung Membulu dan Dewan SK Pekan Keningau II.

"Sebanyak 30 kampung di Nabawan dan dua kampung di Sook terjejas akibat bencana banjir berikutan hujan yang berterusan di kawasan pedalaman Sabah, masing-masing terletak 174 kilometer (km) dan 147 km arah Selatan dari Kota Kinabalu," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan