TINTA MINDA

TVET LAHIRKAN MODAL INSAN BERKEMAHIRAN

14/05/2025 12:12 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Ts. Dr Ahmad Mubarak Tajul Arifin

Dunia hari ini semakin mencabar dan pilihan hari ini memberikan harapan pada masa depan. Setiap individu pasti mengimpikan kehidupan yang baik pada masa depan. Golongan pelajar, terutamanya lepasan sekolah menengah perlu mencorakkan perancangan kehidupan bagi menempuh hari-hari mendatang. Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET adalah bidang yang sesuai untuk diceburi. Bidang TVET adalah bidang utama dalam membekal dan memastikan negara mempunyai cukup sumber tenaga berkemahiran dan berkepakaran dalam pelbagai bidang dan industri, antaranya pembuatan, automotif, pembinaan, pengangkutan, perikanan mahupun penerbangan.

Memilih Bidang TVET

Pertimbangan dalam memilih bidang TVET yang bersesuaian adalah berdasarkan kepada minat. Minat dapat membantu seseorang untuk mempelajari dan fokus pada bidang yang diminati. Minat juga dapat menjadi pendorong kepada seseorang untuk membuat penyelidikan terhadap bidang yang diceburi, sama ada peluang pendidikan, potensi kerjaya, gaji dan lain-lain. Minat seterusnya dapat memastikan seseorang bersemangat dan berusaha gigih bagi mencapai cita-cita yang diidam-idamkan.

Terdapat pelbagai pilihan bidang TVET yang disediakan oleh pelbagai institut, merangkumi institusi pengajian tinggi kerajaan atau swasta dengan pelbagai tahap pengajian. Statistik terkini (Rujuk: TVET Madani) merekodkan terdapat 1,398 institusi TVET secara keseluruhannya di bawah kelolaan kementerian, kerajaan negeri dan swasta. Dengan kelengkapan fasiliti yang baik, peluang ini seharusnya dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pelajar, justeru dapat menjadi modal insan terbaik. Perkembangan teknologi yang sangat pantas memerlukan kerjasama yang erat antara institut dan industri dalam memastikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh oleh pelajar adalah terkini. Secara umumnya, kolaborasi antara institusi dan industri menjadikan program dan kursus yang ditawarkan adalah kekal relevan dengan keperluan jangkaan pekerjaan masa hadapan.

Kemahiran

Pemilihan untuk menceburi bidang TVET dapat mempertingkatkan keupayaan dan kebolehan diri, di samping kemahiran ‘hard skills’, ia juga dapat menyumbang kepada peningkatan keupayaan soft skills. Kedua-dua kemahiran ini penting untuk dikuasai oleh seseorang individu, seterusnya memastikan jaminan dalam survival kehidupan masa depan. Kemahiran hard skills adalah dinilai berdasarkan kepada kupayaan fizikal, terjemahan ilmu teknikal. Manakala kemahiran soft skills atau lebih dikenali sebagai kemahiran insaniah adalah melibatkan penguasaan kemahiran yang bersifat bukan akademik, antaranya adalah kemahiran berkomunikasi, kemahiran kepimpinan, kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran kerja berpasukan dan kemahiran keusahawanan.

Penguasaan kedua-dua elemen kemahiran ini dapat memberi kelebihan kepada individu yang menceburi bidang TVET bagi meyakinkan bakal majikan atau memulakan perniagaan sendiri. Pakej yang dimiliki membolehkan individu yang menceburi bidang TVET untuk merancang pembangunan karier, sama ada memilih untuk makan gaji atau bekerja sendiri. Penerapan elemen keusahawanan dengan dilengkapi ilmu pengetahuan dan kemahiran teknikal memberikan nilai tambah kepada individu dalam bidang TVET. Sementelah, individu yang menceburi bidang ini dilatih untuk berdikari dan mampu untuk menyelesaikan sesuatu perkara dengan baik.

Inisiatif dan Sokongan

Dengan pelbagai sokongan dan inisiatif yang diberikan oleh pihak kerajaan, bidang TVET mempunyai peluang kerjaya dan masa depan yang cerah. Program-program yang ditawarkan dalam bidang ini diadakan bagi memenuhi peluang kerjaya. Dalam era dunia tanpa sempadan, kepesatan teknologi semakin pantas, keperluan tenaga kerja mahir dan berkepakaran adalah amat tinggi. Lepasan bidang TVET mampu untuk memperoleh gaji yang lebih tinggi dibandingkan dengan bidang bukan teknikal. Malahan itu, kerajaan menyasarkan keperluan lepasan TVET yang lebih tinggi pada tahun-tahun mendatang. Selaras dengan hasrat kerajaan mencapai matlamat negara berteknologi tinggi.

Individu yang menceburi bidang ini turut berpeluang bekerja dengan syarikat-syarikat terkemuka di seluruh dunia. Menimba ilmu dan seterusnya membantu melahirkan bakat-bakat dalam negara setanding dengan dengan negara luar. Bidang TVET juga mempunyai laluan dalam perkembangan kerjaya dengan mengikuti program-program pembelajaran sepanjang hayat. Program pembelajaran sepanjang hayat ini dapat membantu lepasan bidang TVET untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan teknikal ke tahap yang lebih tinggi.

Bidang TVET adalah laluan dalam survival masa depan. Dengan pakej yang ditawarkan dalam bidang ini, ia mampu memberi jaminan untuk memastikan seseorang individu dapat mengecapi kehidupan yang baik, dan seterusnya membina generasi yang akan mewarisi pembangunan negara pada masa akan datang. Dunia kini menuntut modal insan yang berkepakaran dalam pelbagai bidang dan teknologi, bidang TVET adalah pilihan dalam ‘survival’ kelestarian manusia sejagat.

-- BERNAMA

Prof. Madya Ts. Dr. Ahmad Mubarak Tajul Arifin ialah Ketua Jabatan, Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)