TINTA MINDA

ISLAM IKTIRAF PERJUANGAN PEKERJA

02/05/2025 10:54 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Hasri Harun

Pekerja adalah tulang belakang kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan negara.

Semua yang bekerja samada sebagai petani, guru, jurutera, doktor, buruh, mahupun peniaga, bakal menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada kemajuan negara.

Islam iktiraf pekerja

Islam sebagai satu sistem kehidupan yang sempurna sesungguhnya mengiktiraf perjuangan golongan pekerja dan meletakkan mereka pada kedudukan yang sangat mulia.

Pengiktirafan Islam terhadap pekerja boleh dilihat dalam pelbagai aspek termasuk dari sudut akhlak, hukum, ganjaran, sehingga kepada hak-hak mereka dalam masyarakat.

Menurut sejarah Islam, pekerja tidak pernah dipandang rendah, malah dijunjung martabatnya selagi mana mereka bekerja dengan jujur, amanah dan ikhlas.

Dalam satu hadis, Baginda bersabda: “Sebaik-baik makanan adalah daripada hasil kerja tangan sendiri, dan Nabi Daud AS makan daripada hasil kerja tangannya sendiri.”

(Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menjelaskan bahawa mencari rezeki adalah suatu perbuatan mulia yang disanjung oleh para nabi, apatah lagi oleh umatnya. Islam juga memberikan penghargaan khusus kepada golongan pekerja yang jujur, berintegriti dan bertanggungjawab.

Dalam satu lagi hadis lain juga, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mencintai apabila seseorang daripada kamu melakukan suatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh.” (Riwayat al-Baihaqi).

Hadis ini menekankan bahawa bukan sahaja pekerjaan itu sendiri mendapat ganjaran, tetapi kualiti dan kesungguhan dalam bekerja juga menjadi ukuran ibadah. Kualiti sesuatu pekerjaan itu menjadi teras kepada kecemerlangan.

Keadilan dalam hubungan antara majikan dan pekerja

Selain itu, Islam menekankan keadilan dalam hubungan antara majikan dan pekerja. Ini menunjukkan bahawa pekerja harus diberikan haknya dengan adil, tanpa penindasan atau eksploitasi. Rasulullah SAW bersabda: “Berikanlah upah kepada pekerja sebelum kering peluhnya.”

(Riwayat Ibn Majah).

Ini jelas menunjukkan secara jelas bahawa Islam menuntut agar pekerja dilayan dengan penuh hormat dan hak mereka diberi segera tanpa penangguhan yang tidak wajar.

Konsep ini jauh lebih maju berbanding sesetengah sistem buruh yang membiarkan pekerja dizalimi atau dinafikan haknya.

Kezaliman terhadap pekerja

Kezaliman yang dilakukan kepada golongan pekerja adalah suatu pengkhianatan kepada hak yang sepatutnya diberikan kepada mereka yang telah menyumbang kepada pembangunan.

Tambahan pula, Islam melarang keras sebarang bentuk eksploitasi atau penindasan terhadap pekerja. Firman Allah SWT dalam Surah al-Mutaffifin, ayat 1 hingga 3, yang memberi amaran kepada golongan yang berlaku tidak adil dalam urusan perniagaan dan timbangan satu peringatan yang boleh diluaskan kepada semua jenis penindasan termasuk dalam bidang pekerjaan.

Ketidakadilan dalam gaji, beban kerja, layanan diskriminasi dan penafian hak adalah perbuatan yang bertentangan dengan semangat Islam yang menjunjung prinsip-prinsip keadilan sosial.

Nilai spiritual kepada pekerjaan

Bukan itu sahaja, Islam juga memberi nilai spiritual kepada pekerjaan. Mencari rezeki yang halal adalah satu bentuk ibadah yang mulia.

Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din menegaskan bahawa orang yang bekerja untuk menafkahi keluarganya, dengan niat yang benar dan jalan yang halal, adalah berada dalam jihad fi-sabilillah.

Dengan erti kata lain, bekerja bukan sekadar satu keperluan hidup, tetapi juga satu bentuk pengabdian kepada Allah SWT jika dilakukan dengan niat yang betul.

Pekerja tidak harus rasa rendah diri

Dalam konteks ini, pekerja tidak seharusnya merasa rendah diri terhadap pekerjaan mereka, walau sekecil mana pun.

Sebagai contoh, seorang tukang sapu yang ikhlas dan amanah lebih mulia di sisi Allah daripada seorang ketua yang berkuasa tetapi zalim dan khianat.

Nilai pekerjaan dalam Islam diukur bukan semata-mata oleh pangkat atau gaji, tetapi oleh keikhlasan, kesungguhan dan kejujuran dalam menjalankannya. Islam juga menganjurkan agar masyarakat menghargai dan mendoakan golongan pekerja. Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang tidak bersyukur kepada manusia, maka dia tidak bersyukur kepada Allah.”

(Riwayat Abu Daud).

Sokongan moral menghargai pekerja

Maka, menghargai pekerja sama ada melalui ucapan terima kasih, layanan yang baik, atau sokongan moral adalah satu bentuk ibadah dan tanggungjawab sosial yang dituntut agama.

Namun, pada zaman moden ini, cabaran kepada pekerja semakin besar. Teknologi dan automasi menggugat banyak jenis pekerjaan tradisional.

Pekerja migran pula sering terdedah kepada penindasan. Gaji minimum, waktu kerja panjang, tekanan mental dan bebanan kos sara hidup juga menjadi isu besar.

Dalam menghadapi semua ini, prinsip-prinsip Islam yang menekankan keadilan, ihsan dan penghormatan terhadap pekerja harus dijadikan asas dalam merangka dasar dan polisi kerja.

Pekerja Kesuma Bangsa

Tanggal 1 Mei 2025 sekali lagi kita merayakan Hari Pekerja, dimana negara memperingati jasa dan pengorbanan para pekerja.

Sambutan besar-besaran menghadirkan pemimpin tertinggi negara adalah sebagai bukti sokongan dan pengharapan demi memastikan masa depan lebih terjamin.

Di sebalik kelangsungan ekonomi, kemajuan teknologi, dan pembangunan negara, tersembunyi keringat dan jerih payah jutaan insan yang bangun awal pagi, pulang lewat malam, dan tekun menggalas amanah di pelbagai sektor.

Mereka inilah insan-insan yang wajar diangkat sebagai “Pekerja Kesuma Bangsa” kerana mereka adalah simbol harapan, kemuliaan, dan kekuatan sesebuah negara.

Kesuma membawa makna keharuman dan keindahan, manakala bangsa merujuk kepada keseluruhan masyarakat atau rakyat.

Maka, apabila digandingkan, frasa ini memberi maksud bahawa para pekerja adalah insan yang harum budinya, luhur jasanya, dan menjadi penyeri serta penyumbang utama kepada kemakmuran sesebuah bangsa.

Mereka bukan sekadar menyara keluarga, malah menjadi nadi yang menggerakkan jentera negara ke arah kecemerlangan. Tidak kira siang atau malam semua berusaha memastikan dunia pekerjaan ini terus berjalan dengan baik dan berkesan.

Malaysia bergantung kepada tenaga kerja

Perlu difahami bahawa dalam kerangka kebangsaan dan kenegaraan, Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama, amat bergantung kepada keharmonian dan kerjasama dalam kalangan tenaga kerjanya.

Sama ada mereka seorang petani di pedalaman, guru di desa, jurutera di bandar, atau jururawat di hospital, semuanya menyumbang kepada satu matlamat bersama iaitu kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Tiada pekerjaan yang hina, tiada sumbangan yang kecil apabila dilihat dalam skop pembangunan bangsa. Berkerjalah dengan sebaiknya demi memajukan diri, keluarga dan negara.

Akhirnya, Islam bukan sahaja mengiktiraf perjuangan pekerja, malah meletakkan mereka sebagai pejuang yang membawa rezeki halal, menegakkan kehormatan diri, dan menyumbang kepada kemajuan ummah.

Setiap titisan peluh mereka adalah bukti pengorbanan yang besar dan wajar dihormati oleh seluruh lapisan Masyarakat dimana-mana sahaja. Marilah kita meneladani ajaran Islam dalam memuliakan para pekerja, agar terbentuk masyarakat yang adil, sejahtera dan diberkati selaras dengan islam yang sebenar.

-- BERNAMA

Hasri Harun ialah Pensyarah Kanan, Universiti Selangor.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)