TINTA MINDA

WANITA SEBAGAI EJEN PERUBAHAN DALAM EKOSISTEM PERTAHANAN NEGARA

02/05/2025 11:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee dan Mohd Daud Mat Din

Peranan wanita tidak hanya tertumpu di peringkat domestik semata-mata tetapi turut meliputi pentadbiran organisasi di pelbagai peringkat portfolio disamping keterlibatan wanita dalam tadbir urus sesebuah negara termasuk dalam bidang pertahanan yang banyak dipelopori oleh kaum lelaki.

Melalui sistem sokongan yang sistematik dan mampan telah melonjakkan kredibiliti dan kemampuan wanita sebagai ikon yang membawa impak positif.

Seiring dengan perkembangan zaman, wanita kini diangkat sebagai pemimpin yang mampu membawa perubahan dalam strategi pertahanan negara.

Kepimpinan wanita mula diiktiraf dalam sektor keselamatan merujuk kepada keupayaan mereka dalam membuat keputusan yang tepat, kebolehan menyusun strategi dan mengendalikan operasi ketenteraan.

Keupayaan dan daya tahan yang ditonjolkan menjadikan wanita mampu menggalas tugas besar dalam kepimpinan pertahanan negara yang didominasi kaum lelaki.

Walaubagaimanapun kini, sektor pertahanan negara lebih terbuka untuk memberi ruang kepada wanita sebagai ejen perubahan yang berperanan dalam membangunkan strategi pertahanan negara.

Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Dasar Pertahanan Negara menyokong usaha untuk mempertingkatkan kepelbagaian (diversity) dan keseimbangan jantina dalam sistem pertahanan negara misalnya dalam badan beruniform.

Idea dan pandangan bahawa wanita tidak relevan untuk mendukung tugas tempur adalah jauh ketinggalan malah wanita kini merupakan salah satu komponen penting dalam dunia pertahanan.

Daya Kepimpinan Wanita dalam Badan Beruniform

Penyertaan semua lapisan masyarakat dalam mempertahankan kedaulatan negara termasuk wanita telah ditekankan dalam Dasar Pertahanan Negara (DPN) yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Seawal penglibatan wanita mula terserlah sejak di peringkat sekolah dalam persatuan badan beruniform dan ia mula menyumbang kepada peningkatan jumlah pegawai wanita dalam pasukan polis, tentera, bomba dan agensi keselamatan yang lain.

Pendedahan awal yang diberikan di peringkat sekolah melalui penawaran kursus badan beruniform yang menjalankan pelbagai aktiviti luar dan lasak seperti perkhemahan dan perbarisan sedikit sebanyak mula menarik minat pelajar untuk berkecimpung dalam persatuan ini hingga ke peringkat pentauliahan.

Antara contoh kejayaan wanita dalam kepimpinan badan beruniform ialah lantikan Rohana binti Jupri menjadi pegawai wanita TLDM pertama yang dinaikkan ke pangkat Laksamana Muda dan meletakkan beliau di barisan hadapan dalam kepimpinan TLDM.

Seterusnya, Mejar Rose Adrianna Binti Ibrahim Sukri merupakan, pegawai wanita pertama TUDM yang menggalas tugas dan jawatan sebagai Pegawai Memerintah Institut Penerbangan 1.

Lantikan dan penglibatan dua ikon wanita ini telah membuka mata semua pihak bahawa wanita mula memecah ‘traditional glass ceiling’ yang menghalang mereka daripada memasuki jawatan kepimpinan walaupun mereka memiliki kemahiran dan bakat yang diperlukan.

Wanita yang menggalas jawatan tinggi dalam sektor pertahanan menuntut nilai kepimpinan yang tinggi, ketegasan, kebijaksanaan dalam merancang operasi pertahanan serta keupayaan untuk menangani tekanan berhadapan dengan situasi kritikal.

Mereka berperanan sebagai model inspirasi kepada generasi muda untuk menyertai sektor pertahanan dan menyumbang tenaga, idea dan keringat demi menjamin kedaulatan dan keselamatan negara.

Dengan sokongan kuat agensi kerajaan seperti MINDEF, pelaksanaan Dasar Pertahanan Negara yang inklusif, serta daya kepimpinan wanita yang semakin berkembang, peranan mereka sebagai ejen perubahan dalam strategi pertahanan negara menjadi semakin penting.

Inisiatif Memperkasakan Wanita dalam Ekosistem Pertahanan Negara

Sistem pertahanan negara bukan hanya bergantung kepada kekuatan ketenteraan semata-mata tetapi turut melibatkan sumbangan tenaga mahir misalnya bidang kepakaran seperti kejuruteraan ketenteraan, perisikan, diplomasi keselamatan, teknologi maklumat pertahanan dan perubatan ketenteraan.

Dalam konteks antarabangsa, penglibatan wanita dalam kumpulan misi pengaman memberi ruang kepada mereka menunjukkan kebolehan sebagai wakil misi pengaman di mana mereka terlibat dalam diplomasi pertahanan dan bantuan kemanusian dalam zon konflik.

Pelbagai inisiatif perlu dilaksanakan untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam sistem pertahanan negara.

Polisi kesaksamaan gender yang diperkenalkan sedikit sebanyak memberi ruang untuk wanita terlibat dalam proses pengambilan dan kenaikan pangkat.

Tidak timbul soal diskriminasi anggota wanita dalam dua aspek ini dengan syarat mereka mempunyai keupayaan untuk meneruskan karier dalam bidang dan jawatan yang dipilih.

Tidak dinafikan, layanan sama rata kaum wanita sebagaimana kaum lelaki merupakan cabaran utama dipenuhi kerana ia melibatkan perbezaan gender terutama bidang ketenteraan banyak melibatkan aspek fizikal.

Selain itu, penawaran kursus dan latihan berbentuk pembangunan professional dalam jangka pendek dan panjang boleh ditawarkan untuk menarik minat mereka melengkapkan kepakaran dan kemahiran yang diperlukan dan kekal bersaing secara kompetitif dengan rakat sejawat lelaki.

Latihan boleh dilaksanakan secara berkala melibatkan kerjasama rakan-rakan strategik dari dalam dan luar negara.

Dalam usaha ini kerajaan melalui peranan melalui agensi seperti MINDEF untuk terus bekerjasama rapat dengan negara-negara rangka anggota ASEAN dalam usaha memberi pendedahan kepada golongan wanita.

Antara usaha sedia ada misalnya melibatkan kerjasama rapat melalui Rangkaian Pusat Pengaman ASEAN (ASEAN Peacekeeping Centres Network) yang merupakan pusat pertama menyediakan latihan pelbagai dimensi.

Selain itu, sistem sokongan dalam aspek kebajikan amat diperlukan untuk menggalakkan penglibatan wanita sebagai ejen perubahan sistem pertahanan negara.

Selain latihan yang berterusan serta sokongan daripada kerajaan dan masyarakat kemudahan kerja yang mesra keluarga penting untuk memastikan keseimbangan antara kehidupan profesional dan peribadi mereka.

Penyediaan pusat asuhan dan khidmat jagaan kanak-kanak di jabatan pertahanan misalnya perlu mencukupi untuk mengurangkan beban tanggungjawab wanita sebagai ibu dan penjaga bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin semasa keluar bertugas.

Selain itu, jaminan peluang memajukan karier perlu lebih terbuka dan jelas agar mereka boleh merangka hala tuju untuk laluan karier bagi tempoh lima tahun ke sepuluh tahun akan datang dan tidak hanya berada di takuk jawatan yang sama selama dalam tempoh perkhidmatan.

Kebolehan mereka berdapatasi dengan persekitaran menjadikan wanita berpotensi untuk terus diangkat sebagai pemimpin dalam sektor pertahanan negara sebagai barisan hadapan dan memberi peluang kepada wanita berpotensi untuk memimpin dalam sektor keselamatan negara.

Oleh itu, adalah wajar bagi kerajaan terus memperkasa penyertaan wanita dalam sektor ini melalui dasar yang progresif dan inisiatif yang menyokong pembangunan profesional mereka.

Penyertaan aktif wanita dalam pertahanan negara bukan sahaja mengukuhkan keselamatan negara tetapi juga mencerminkan kemajuan ekosistem pertahanan dan kematangan negara dalam aspek kesaksamaan gender.

-- BERNAMA

Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee ialah Penyelaras Teras 3, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, USIM manakala Mohd Daud Bin Mat Din ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas (Parlimen & Strategik) Pejabat Menteri Pertahanan.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)