Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diumumkan dengan penuh sorakan dan pujian.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengangkat pencapaian ini sebagai bukti bahawa kualiti pendidikan negara semakin kukuh. Deretan keputusan cemerlang yang mengisi dada-dada akhbar meyakinkan rakyat bahawa masa depan negara berada di tangan generasi berilmu.
Namun di sisi lain, statistik suram menghantui kita. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mendedahkan bahawa sebanyak 224 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan positif HIV pada tahun 2024 — satu peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ironi ini terlalu mencengkam untuk diabaikan. Di saat kita memuji keputusan akademik yang hebat, kita berhadapan dengan realiti pahit bahawa generasi muda juga bergelut dengan masalah sosial yang parah. Apakah makna gred A bertimbun jika pada masa yang sama, nilai hidup, sahsiah, dan jati diri pelajar kian rapuh?
Pendidikan yang terlalu mengejar gred
Sistem pendidikan kita telah terlalu lama disandarkan kepada peperiksaan. Pelajar diajar untuk menghafal fakta, memenuhi skema jawapan dan mencapai target akademik.
Kejayaan pelajar diukur dengan angka, bukan dengan nilai hidup yang mereka bawa keluar dari bilik darjah.
Bila pendidikan hanya memandang markah sebagai tanda aras kejayaan, lahirlah generasi yang cemerlang di atas kertas, tetapi kosong dari segi kebijaksanaan hidup.
Mereka tahu menjawab soalan peperiksaan, tetapi gagal menjawab cabaran kehidupan sebenar.
Krisis HIV dalam kalangan pelajar IPT adalah cerminan nyata kegagalan ini. Pelajar yang kononnya terpelajar terjebak dalam tingkah laku berisiko tinggi — bukan kerana mereka bodoh, tetapi kerana sistem pendidikan gagal membentuk kekuatan dalaman dan kompas moral mereka.
Keruntuhan nilai dalam masyarakat berpendidikan
Pendidikan seharusnya bukan hanya tentang akal. Ia mesti melibatkan pembentukan hati dan jiwa. Pendidikan yang sejati membangunkan manusia dari dalam, membina rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat.
Malangnya, kita melihat bagaimana pendidikan nilai semakin diketepikan. Subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam menjadi sekadar subjek untuk lulus peperiksaan tanpa penghayatan yang menjiwai ilmu.
Pendidikan kesihatan sosial pula disampaikan secara separuh hati seperti melepaskan batuk di tangga, tanpa pendekatan mendalam yang benar-benar menyentuh hati pelajar.
Akhirnya, nilai murni tidak berakar. Pelajar yang cemerlang dalam akademik menjadi mudah hanyut dalam godaan sosial, kerana tiada benteng nilai yang kuat melindungi mereka.
Antara angka dan hakikat
Kita boleh terus bergembira dengan angka-angka keputusan peperiksaan, tetapi kita tidak boleh menutup mata terhadap realiti sosial yang menakutkan ini. Setiap satu kes HIV dalam kalangan pelajar bukan sekadar statistik.
Ia adalah kisah hidup yang mungkin penuh penyesalan. Ia adalah impian yang musnah. Ia adalah masa depan yang tercalar. Di sebalik semua ini, ada persoalan yang perlu kita jawab sebagai masyarakat iaitu apakah kita benar-benar mendidik mereka?
Membina semula pendidikan berjiwa
Jika kita benar-benar mengambil iktibar, ini sepatutnya menjadi titik tolak untuk merombak semula falsafah pendidikan negara.
Pertama, pendidikan nilai mesti menjadi teras utama. Bukan sekadar di bilik darjah, tetapi di seluruh ekosistem pendidikan. Kita perlu mengajar pelajar bukan hanya tentang betul dan salah, tetapi mengapa sesuatu itu betul atau salah.
Pendidikan nilai harus berasaskan kepada pembangunan hati nurani, bukan sekadar hafalan definisi.
Kedua, pendidikan kesihatan sosial mesti diperkasakan. Kita mesti berani berbicara tentang isu-isu yang dianggap tabu — tentang kesihatan seksual, hubungan sihat dan tanggungjawab diri.
Bukannya dengan pendekatan menakutkan, tetapi dengan pendekatan yang matang, penuh empati dan mendidik.
Ketiga, ibu bapa dan komuniti mesti menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan. Nilai tidak akan berakar hanya di sekolah. Ia mesti disemai di rumah dan diperkukuh dalam masyarakat. Pendidikan yang berkesan adalah pendidikan yang disokong oleh seluruh ekosistem sosial.
Keempat, kejayaan pendidikan mesti dinilai semula. Kita perlu mula mengukur kejayaan bukan hanya pada keputusan akademik, tetapi juga pada integriti, empati, daya tahan, dan sahsiah pelajar.
Masih ada harapan
Walaupun keadaan hari ini membimbangkan, kita tidak boleh menyerah kalah. Setiap krisis membuka peluang untuk perubahan.
Setiap kegagalan mengajar kita sesuatu. Malaysia masih mempunyai ramai pendidik hebat, ibu bapa prihatin, dan anak muda yang mahu berjuang untuk masa depan yang lebih baik. Apa yang perlu ialah keberanian untuk berubah, kejujuran untuk mengakui kelemahan dan kesungguhan untuk memperbetulkan hala tuju.
Kita perlu membina sistem pendidikan yang tidak hanya melahirkan pelajar cemerlang, tetapi juga manusia yang berjiwa besar.
Manusia yang mampu berdiri teguh dalam cabaran, memilih jalan benar dalam godaan, dan menyumbang kepada masyarakat dengan penuh tanggungjawab.
Pendidikan sejati untuk masa depan
Keputusan SPM 2024 mungkin mencatatkan rekod baharu, tetapi peningkatan kes HIV 2024 juga memberi amaran keras bahawa masih banyak lompang dalam sistem pendidikan kita.
Jika kita terus mendewakan angka semata-mata, kita akan terus melahirkan generasi yang cemerlang di atas kertas, tetapi hancur di dalam jiwa. Sebaliknya, jika kita berani berubah, membina pendidikan yang mengutamakan insan berintegriti, kita masih mempunyai peluang untuk menyelamatkan masa depan.
Kerana pada akhirnya, negara ini tidak akan dibina oleh berapa banyak A yang dikumpul, tetapi oleh berapa ramai insan berprinsip yang berani hidup untuk kebenaran.
-- BERNAMA
Dr Anim Zalina Azizan ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)