SUKAN > BERITA

KECEDERAAN TIDAK HALANG JUN HAO BERAKSI DI MALAYSIA MASTERS

18/05/2025 01:00 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao tetap akan menyertai Kejohanan Master Malaysia 2025 meskipun kecederaan yang dialami di tangan kanan belum pulih sepenuhnya. 

Atlet berusia 25 tahun itu berkata setakat ini pemulihan menunjukkan perkembangan baik namun hanya boleh menentukan tahap permainan ketika perlawanan sebenar pada kejohanan yang akan berlangsung di Axiata Arena itu kelak. 

"Keadaan lebih baik berbanding minggu lepas, saya akan gunakan masa yang ada sebelum kejohanan untuk jalani pemulihan. Belum perlawanan jadi saya tak boleh cakap macam mana tahap kesakitan saya. 

"Saya masih bermain dengan hati-hati, tapi saya main masih belum capai intensiti sepenuhnya," katanya selepas sesi uji gelanggang bagi perlawanan Malaysia Masters di Axiata Arena di sini hari ini. 

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu sebelum ini mengalami kecederaan ketika membawa cabaran negara di Piala Sudirman di China pada April lepas.

Susulan kecederaan itu, beliau terpaksa menarik diri daripada kejohanan Terbuka Thailand yang berlangsung sejak minggu lepas. 

Mengulas mengenai pencabarnya di pusingan pertama Malaysia Masters iaitu Nhat Nguyen dari Irelend, Jun Hao menyifatkan ia sebagai satu peluang untuk mara ke pusingan kedua. 

"Tapi tak boleh ambil mudah tapi saya sudah membuat persiapan terbaik untuk menentang beliau," katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan