KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kegagalan Malaysia meraih emas dalam acara double di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 semalam berpunca daripada kesilapan pemain yang dilakukan pada saat genting.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan berkata justeru, pihaknya akan cuba memperbaiki masalah tersebut sebagai persiapan menghadapi Piala Raja Thai pada Julai ini.
“Kalau tanya saya, pasukan dalam double ini sangat seimbang dan siapa buat kesilapan, dia akan terima padah. Kita sudah lihat bagaimana kesilapan kecil boleh menjejaskan keseluruhan perlawanan.
“Bagaimanapun, kita akui masih banyak ruang perlu diperbaiki. Beberapa kesilapan tidak sepatutnya berlaku ketika mata genting,” katanya ketika ditemui semalam.
Terdahulu, hasrat Malaysia untuk meraih gelaran berganda di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada musuh tradisi Thailand dalam perlawanan akhir acara double semalam.
Dalam pada itu, mengulas kejayaan skuad kuadran negara, Sumali berbangga dengan persembahan ditampilkan pemain yang berjaya menyumbangkan pingat emas pertama negara di kejohanan itu.
“Saya gembira dengan peningkatan prestasi pemain dalam acara kuadran. Sejak awal saya letak fokus di situ dan nampaknya ia membuahkan hasil
“Acara kuadran ini belum pernah kita sertai secara serius, dan saya gembira kerana kita berjaya muncul sebagai juara,” katanya
Semalam, skuad kuadran negara mencipta sejarah muncul juara acara itu selepas menewaskan Jepun pada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini malam tadi.
Skuad negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahril Aiman Halim tidak berdepan masalah menewaskan skuad matahari terbit itu straight set, 15-8, 15-11.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial