SUKAN > BERITA

SKUAD KUADRAN NEGARA JANGAN TERLALU SELESA

13/05/2025 11:51 AM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Skuad sepak takraw kuadran negara diingatkan untuk tidak berasa selesa dengan status mereka sebagai juara Asia ketika ini.

Jurulatih skuad kuadran negara Muhammad Zulkarnain Mohamed Arif berkata meskipun beliau berbangga dengan pencapaian anak-anak buahnya, tanggungjawab mereka masih belum selesai untuk tahun ini.

Beliau berkata ini kerana masih terdapat dua kejohanan besar menanti pasukan negara iaitu Piala Raja Thai yang dijadual berlangsung pada Julai, serta temasya Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini, yang menuntut persiapan rapi dan fokus berterusan.

“Acara kuadran ini sebenarnya masih baru untuk kita. Kami sebenarnya masih cuba mencari rentak dalam acara ini dan setakat ini persembahan serba menjadi.

“Tetapi selepas ini kita ada dua kejohanan besar Piala Raja Thai dan Sukan SEA hujung tahun ini, yang pasukan hebat seperti Thailand, Myanmar dan Indonesia sudah tentu akan sertai kedua-kedua kejohanan ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Semalam, skuad kuadran negara mencipta sejarah muncul juara acara itu, selepas menewaskan Jepun pada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa di sini malam tadi.

Skuad negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahril Aiman Halim, tidak berdepan masalah menewaskan skuad matahari terbit itu 15-8, 15-11.

Dalam pada itu jurulatih skuad double negara, Aswadi Abdullah berkata beliau tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya meskipun gagal menjadi juara acara itu.

Beliau berkata barisan pemain yang diturunkan pada kejohanan itu iaitu Muhammad Noraizat Nordin, Muhammad Redwan Hakim Muhammad dan Aidil Aiman Azmawi menampilkan aksi yang terbaik sepanjang kejohanan itu.

“Persembahan daripada awal hingga ke final sebenarnya pemain sudah berikan yang terbaik. Cuma, dari segi permainan, kita ada peluang menang, tetapi ia tidak memihak kepada kita.

“Secara kesimpulan, daripada peringkat kumpulan hingga ke hari ini, pemain dapat terjemahkan apa dimahukan dan dapat beri yang terbaik dan pada saya, itu sudah cukup,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau tidak menolak mungkin bakal melakukan rombakan pemain bagi menghadapi Piala Raja Thai.

Terdahulu, hasrat Malaysia untuk meraih gelaran berganda di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 tidak kesampaian, apabila tewas 1-2 kepada musuh tradisi Thailand dalam perlawanan akhir acara double semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan