SUKAN > BERITA

JUWAIDI-FATIN NURFATEHAH LEBUR REKOD KEBANGSAAN DI SHANGHAI

09/05/2025 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Gandingan pemanah berpengalaman negara, Mohd Juwaidi Mazuki-Fatin Nurfatehah Mat Salleh, berjaya memperbaharui rekod kebangsaan acara memanah compound berpasukan campuran pada Peringkat Kedua Piala Dunia Memanah 2025 di Shanghai, China, hari ini.

Rekod baharu itu dicatatkan ketika Mohd Juwaidi-Fatin Nurfatehah menewaskan pasangan Nicolas Girard-Clemence Fraigneau dari Perancis 159-154 dalam pusingan kedua saingan compound berpasukan campuran, demikian menurut laman web kejohanan https://www.worldarchery.sport/events/results.

Pasangan negara itu memadam rekod lama 158 milik mereka yang dilakukan dalam Peringkat Ketiga Kejohanan Piala Asia-Penentuan Ranking Dunia 2023 di Singapura.

Nasib tidak menyebelahi Mohd Juwaidi-Fatin Nurfatehah dalam usaha mencabar pingat emas apabila tewas di separuh akhir kepada Batuhan Akcaoglu-Hazal Burun dari Turkiye 156-157 selepas terdahulu cemerlang mengatasi gandingan Korea Selatan, Kim Jongho-Sim Sooin di suku akhir.

Bagaimanapun, mereka berpeluang membawa pulang sesuatu sekiranya berjaya mencipta kejutan ke atas gandingan Abhishek Verma-Madhura Dhamangaonkar dari India dalam penentuan pingat gangsa esok.

“Tak sangka juga boleh buat rekod kebangsaan tadi, sebab main fokus adalah untuk membidik dengan baik dan bergerak ke pusingan seterusnya.

"Mengenai perlawanan esok, agak sukar kerana lawan adalah India yang menduduki ranking nombor satu, kami hanya akan buat yang terbaik, semoga nasib menyebelahi kami,” kata Fatin Nurfatehah ketika dihubungi Bernama, hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan