SUKAN > BERITA

MSN SAMBUT BAIK PENYENARAIAN MEMANAH COMPOUND DI LA28

10/04/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 10 April -- Majlis Sukan Negara (MSN) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menyenaraikan acara memanah compound berpasukan campuran, yang menawarkan pingat pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28).

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata perkembangan itu membuka peluang tambahan kepada Malaysia untuk memburu pingat pada temasya sukan berprestij berkenaan.

Beliau berkata ia berdasarkan pencapaian memberangsangkan skuad memanah compound negara sejak kebelakangan ini.

“Seperti semua sedia maklum, Malaysia sentiasa mempunyai pemanah yang layak secara merit untuk acara recurve bagi beberapa temasya Sukan Olimpik sebelum ini.

“Ini termasuk tiga pemanah yang beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Jefri berkata bagi acara compound, skuad negara juga memiliki beberapa atlet yang berjaya meraih pencapaian yang membanggakan, antaranya Alang Arif Aqil Muhammad Ghazalli dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang memenangi pingat emas acara berpasukan campuran pada Piala Asia di Bangkok, Februari lepas.

Beliau berkata Malaysia juga mempunyai pemanah compound berpengalaman iaitu Mohd Juwaidi Mazuki, yang pernah berada di ranking ke-20 dunia selain meraih pingat gangsa pada Kejohanan Memanah Compound Dunia di Antalya, Turkiye pada 2023.

“MSN kini mempunyai lapan pemanah compound, empat lelaki dan empat wanita dalam Program Podium sejak 2018, yang sedang dipersiapkan untuk menghadapi kejohanan utama di peringkat dunia.

“Antara pencapaian lain yang diraih termasuk pingat emas acara berpasukan lelaki pada Piala Asia 2023 dan 2024 serta pingat gangsa pada Sukan Asia 2018 dan 2022,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan acara ini akhirnya dipertandingkan pada Sukan Olimpik, sekali gus bakal menawarkan pingat bagi kategori berpasukan campuran di LA28.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan