SUKAN > BERITA

PIALA ASIA 2025: MALAYSIA JANGKAKAN CABARAN LEBIH SENGIT

22/04/2025 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Malaysia menjangkakan cabaran lebih sengit bakal dihadapi pada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 10 hingga 18 Mei ini.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Ahmad Jais Baharun berkata tugasan berat menanti dalam acara regu dan double, iaitu acara yang menyaksikan Malaysia dinobatkan selaku juara dunia ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia, tahun lepas.

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyasarkan sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir dalam semua acara dipertandingkan, terutamanya regu dan double.

“Kami melihat ini sebagai cabaran besar dan ia adalah satu tanggungjawab kepada setiap pemain yang terpilih beraksi di Piala Asia kelak.

“Saya juga lihat undian kali ini agak seimbang namun cabaran besar menanti skuad negara berbanding ketika saingan Piala Dunia tahun lepas. Kita sedang mantapkan pasukan untuk menghadapi Piala Asia ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian Piala Asia 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam. 

Mengenai musuh tradisi Thailand, Ahmad Jais berkata pemain sudah meraih pengalaman berharga pada Piala Dunia di Bihar, India Mac lepas dan telah menunjukkan perkembangan positif sepanjang persediaan menghadapi Piala Asia kali ini.

Dengan persiapan rapi dilakukan, beliau yakin skuad negara mampu memberikan cabaran sengit kepada Thailand, mahupun mana-mana pasukan hebat lain.

Piala Asia 2025 menyaksikan penyertaan beberapa negara kuasa besar sukan sepak takraw yang dibahagikan kepada empat acara iaitu regu, kuadran, double dan regu berpasukan.

Bagi acara regu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura manakala regu berpasukan menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Brunei dan Jepun.

Dalam acara kuadran, Malaysia bersama Filipina, Jepun dan China dalam Kumpulan B manakala acara double menyaksikan Malaysia berdepan Thailand, Taiwan dan Nepal juga dalam Kumpulan B.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan