KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- OCBC Bank (Malaysia) Bhd menyemak semula unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi 2025 kepada 4.3 peratus daripada 4.5 peratus berikutan prospek permintaan luar yang lemah.
Ketua ahli ekonomi dan ketua penyelidikan dan strategi pasaran globalnya Selena Ling berkata pelarasan unjuran itu mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penurunan permintaan dan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan.
Menurutnya, unjuran pertumbuhan 4.3 peratus itu adalah berdasarkan tarif timbal balik 24 peratus dikenakan ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan pada awal April.
"Terdapat risiko penurunan (pertumbuhan). Bagi Malaysia, eksport semikonduktor dan elektronik dan elektrik (E&E) sangat penting kerana ia menyumbang hampir 80 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS.
"Pada satu tahap jika tarif ke atas semikonduktor dikenakan, pertumbuhan akan terus tertekan dan kita mungkin menyaksikan (pertumbuhan) hampir kepada 3.5 peratus," katanya pada sidang media mengenai prospek ekonomi OCBC 2025, hari ini.
Ling berkata pengecualian terhadap semikonduktor dan produk berkaitan telah memberikan sedikit kelegaan kerana kira-kira 46 peratus daripada eksport Malaysia ke AS masih dikecualikan daripada tarif berdasarkan peraturan terkini.
Ini termasuk produk peralatan E&E, dan merangkumi litar bersepadu elektronik, sel fotovoltaik, radas komunikasi dan mesin pemprosesan data automatik.
Menurutnya, kadar tarif timbal balas 24 peratus ke atas Malaysia lebih rendah berbanding 46 peratus ke atas Vietnam, 49 peratus ke atas Kemboja, 37 peratus ke atas Thailand dan 48 peratus ke atas Laos. Ini membolehkan negara mengekalkan daya saing perbandingan bagi syarikat yang mengeksport ke AS.
Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), Ling berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka lebih menumpu untuk menyokong pertumbuhan ekonomi sekiranya keadaan global dan domestik kian melemah dan mungkin akan melonggarkan monetari jika risiko pertumbuhan semakin ketara.
"Kami menjangkakan penurunan kadar akan dilakukan pada 2026 kepada 50 mata asas, tetapi boleh berlaku lebih awal jika risiko pertumbuhan semakin meningkat," katanya.
Prospek jangka sederhana Malaysia akan terus disokong oleh inisiatif dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Strategi Semikonduktor Nasional dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, katanya.
"Inisiatif ini penting dalam meningkatkan potensi pertumbuhan, daya saing, dan membina daya tahan ekonomi," kata Ling.
Mengenai ringgit, beliau berkata, tekanan jangka pendek dijangka berterusan tetapi asas kukuh ekonomi Malaysia dan prospek penurunan nilai dolar AS boleh memberikan sokongan terhadap mata wang tempatan dalam jangka sederhana, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial