KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi berkata Malaysia mempunyai tiga beregu lelaki terbaik yang mampu menghasilkan keputusan positif pada saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.
Herry berkata tiga beregu negara yang berada dalam kelompok 10 teratas iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun adalah senjata utama Malaysia pada kempen kali ini.
"Setiap pasangan ada gaya permainan berbeza, jadi saya ada banyak pilihan untuk turunkan mana-mana gandingan bergantung kepada siapa lawan kita nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini hari ini.
Jurulatih Indonesia itu berkata pada saingan kali ini, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C, perlu berwaspada dengan pencabar utama Jepun, tapi dilihat tidak mempunyai masalah untuk menjinakkan Australia dan Perancis.
“Yang pasti dalam kumpulan itu kita perlu perhatikan Jepun, manakala Australia dan terutama sekali Perancis saya lihat tidak menghantar pasangan terbaik dan merupakan pemain pelapis,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial