KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyingkirkan juara bertahan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China untuk menempah slot ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 malam ini.
Pada aksi separuh akhir di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China itu, gandingan keenam dunia berkenaan hanya mengambil masa 31 minit untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-12, 21-14, sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lepas.
Aaron-Wooi Yik menampilkan aksi bertenaga dan permainan kemas untuk mematikan langkah lawan yang juga pasangan nombor tiga dunia sehingga kerap melakukan kesilapan sendiri, yang menghadiahkan mata percuma kepada pasangan negara.
Prestasi cemerlang pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu juga adalah kesinambungan daripada persembahan hebat mereka pada aksi suku akhir semalam, apabila menewaskan beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 21-16, 21-11 dalam tempoh 30 minit.
Menanti pasangan negara di pentas final esok adalah pemenang satu lagi aksi separuh akhir yang menemukan Chen Bo Yang-Liu Yi dari China dan Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana dari Indonesia.
Kejayaan mara ke perlawanan akhir ini adalah yang kedua bagi Aaron-Wooi Yik selepas muncul naib juara pada edisi 2022, apabila tewas kepada Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan dari Indonesia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial