SUKAN > BERITA

MISI "SERAMPANG DUA MATA" SKUAD HOKI AIS NEGARA DI KEJOHANAN DUNIA DIVISYEN EMPAT

11/04/2025 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Skuad hoki ais negara menyasarkan untuk meraih tempat ketiga apabila turun beraksi di Kejohanan Ais Hoki Dunia Divisyen Empat di Yerevan, Armenia pada 13-20 April ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Ais Hoki Malaysia Dr Nurhidayah Datuk Badarudin berkata beliau percaya sasaran itu mampu direalisasikan pasukan negara yang sudah membuat persiapan rapi sejak Januari lepas.

“Keputusan sebelum ini kita berada di tempat keempat tetapi ia bukan satu pencapaian yang baik. Kali ini kita akan cuba kalahkan Indonesia, Iran dan Kuwait, harapnya kita dapat menamatkan kejohanan di tempat ketiga.

“Jika kita berjaya menamatkan kejohanan ini dengan meraih podium, kita akan naik ke divisyen 3 pada kejohanan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan pasukan negara di kejohanan tersebut, Nurhidayah berkata pasukan Malaysia akan dibarisi pemain tempatan yang berkualiti.

Beliau berkata ketika ini 20 pemain bakal membawa cabaran negara di kejohanan itu dengan tujuh daripadanya berpangkalan di luar negara seperti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Pasukan Malaysia akan membuka tirai Kejohanan Ais Hoki Dunia divisyen empat bertemu tuan rumah pada 13 April ini diikuti Iran (14 April), Indonesia (16 April), Kuwait (17 April) dan Uzbekistan (19 April).

Kejohanan tersebut akan menggunakan format round robin dengan pasukan yang meraih mata terbanyak bakal dinobatkan sebagai juara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan