KUALA LUMPUR, 11 Apr (Bernama) -- Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal negara yang berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China selepas menumpaskan pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di pusingan suku akhir hari ini.
Juara dunia 2022 itu tidak berdepan masalah apabila memperoleh kemenangan straight set 21-16, 21-11 dalam tempoh 30 minit.
Pilihan keenam kejohanan itu dijadual bertemu wakil tuan rumah Liang Wei Keng-Wang Chang bagi memburu slot ke perlawanan akhir Ahad ini.
Terdahulu Wei Keng-Wang Chang mara selepas menundukkan gandingan Indonesia Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-19, 21-19 dalam tempoh 42 minit.
Dalam pada itu hasrat pilihan pertama kejohanan dari Malaysia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tunduk kepada pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi.
Bagaimanapun Bo Yang-Liu Yi tidak diberi laluan mudah oleh beregu utama negara itu apabila dipaksa bermain tiga set sebelum memenangi aksi itu 21-16, 18-21, 22-20 yang berlangsung lebih satu jam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial