SUKAN > BERITA

JUALAN UMUM TIKET PERLAWANAN MANCHESTER UNITED DI BUKIT JALIL DIBUKA ESOK

15/04/2025 11:12 AM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) --  Tiket perlawanan persahabatan yang dinanti-nantikan antara gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini dijangka terjual dengan pantas apabila jualan umum dibuka mulai jam 11 pagi esok.

Penganjur jualan tiket, ShekhinahPR, menasihatkan para peminat agar segera mendapatkan tiket melalui laman web rasmi www.myticketempire.com, yang dijual pada harga antara RM50 hingga RM1,500, berikutan permintaan tinggi semasa akses awal dan sambutan luar biasa dari peminat seluruh rantau ini.

“Malaysia, inilah detik anda. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Manchester United beraksi secara langsung di Bukit Jalil. Jadi sebahagian daripada sejarah — dapatkan tiket anda dan cipta kenangan bersama,” kata kenyataan penganjur hari ini.

Juara EPL sebanyak 13 kali itu kali terakhir beraksi di Malaysia pada siri jelajah pra-musim 2009, di mana mereka menewaskan pasukan pilihan Malaysia dua kali di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Manchester United juga dijadualkan berkunjung ke Hong Kong untuk perlawanan menentang skuad kebangsaan negara itu di Stadium Hong Kong pada 30 Mei, sebelum bertemu Leeds United di Stockholm pada 19 Julai.

Siri jelajah musim panas EPL akan diteruskan di Amerika Syarikat, di mana Manchester United bakal menentang West Ham United (26 Julai), Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan