KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Juara 13 kali Liga Perdana Inggeris Manchester United akan kembali ke Malaysia selepas 16 tahun dalam siri jelajah pascamusim bulan depan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Manchester United dijadualkan menentang pasukan ASEAN All-Stars pada 28 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Selepas itu, skuad The Red Devils akan berlepas ke Hong Kong untuk menentang pasukan kebangsaan negara berkenaan di Stadium Hong Kong pada 30 Mei.
Menurut kenyataan itu, dua perlawanan yang dibawakan oleh Snapdragon dan dianjurkan ProEvents adalah jelajah pascamusim pertama dalam era moden kelab berkenaan, serta menandakan kepulangan mereka ke Asia selepas kemenangan 4-0 ke atas Liverpool di Bangkok pada Julai 2022.
“Kali terakhir kelab ini berkunjung ke Kuala Lumpur adalah pada tahun 2009, dan ke Hong Kong pada tahun 2013, namun hubungan antara Manchester United dan jutaan peminat setia di seluruh Asia kekal utuh seperti dahulu.
“Ketika pasukan utama lelaki sah akan menyertai Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris di Amerika Syarikat (AS) menjelang musim 2025/26, perlawanan pada bulan Mei ini memberikan peluang unik kepada para pemain dan kakitangan untuk berinteraksi secara langsung dengan peminat di Asia.
"Selain itu, kelab juga berpeluang mengeratkan kerjasama dengan rakan niaga komersial yang penting di rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United Omar Berrada berkata mereka berbesar hati dapat menyediakan jadual yang memberi peluang kepada peminat di Asia, negara Scandinavia dan AS untuk berhubung dengan kelab, sekali gus menyaksikan pasukan utama lelaki beraksi secara langsung di lokasi tempatan.
“Paling penting, jelajah ini menjana pendapatan tambahan yang signifikan, membantu mengukuhkan kelab dan membolehkan kami terus melabur demi kejayaan di atas padang.
“Ia juga mewujudkan peluang unik untuk kami bekerjasama dengan rakan niaga komersial yang dihargai serta mengeratkan hubungan dengan peminat di rantau seperti Asia dan AS,” katanya.
Selepas jelajah Asia, Manchester United akan menentang Leeds United di Stockholm pada 19 Julai sebelum berlepas ke AS untuk Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United (26 Julai), diikuti Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial