SEREMBAN, 15 April (Bernama) -- My Nafco Precision Sdn Bhd melancarkan kemudahan pembuatan canggih berkaitan aeroangkasa di sini dengan komitmen pelaburan selama 10 tahun bernilai US$40 juta.
Kompleks permulaan seluas 2.34 hektar ini mempunyai 3,500 meter persegi ruang pembuatan berteknologi tinggi.
Nafco merupakan peneraju global dalam pengeluaran komponen perkakasan khusus aeroangkasa dan komponen pemesinan berketepatan tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata penubuhan kemudahan pembuatan canggih oleh Nafco ini menjadi detik perubahan bagi industri aeroangkasa Malaysia.
“Pelaburan berkenaan seiring sepenuhnya dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pembuatan berteknologi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Dalam pada itu, menurut kenyataan Nafco Group, kemudahan tersebut akan berfungsi sebagai pemangkin kepada penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi dan pembangunan ekosistem aeroangkasa tempatan.
Katanya, terdapat perancangan untuk kumpulan berkenaan membina kemudahan kedua seluas 19,000 meter persegi yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Sementara itu, Presiden Kumpulannya, Alvin Lin berkata kemudahan tersebut akan menjadi asas kepada wawasan mereka untuk pembuatan lestari dan pintar.
“Pelaburan Nafco sekali gus menyertai sektor aeroangkasa Malaysia yang semakin berkembang dengan RM1.5 bilion pelaburan yang diluluskan pada 2024,” katanya.
Menerusi pengembangan ini, Nafco berjanji untuk menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi, seterusnya memajukan inovasi dalam industri aeroangkasa sambil menyokong wawasan Malaysia untuk merebut lima peratus pasaran penyelenggaraan, pembaikan dan operasi global menjelang 2030.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial