KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat 4.7 peratus kepada RM153.1 bilion pada Februari 2025 (Januari 2025: 3.5 peratus), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan nilai jualan pada Februari 2025 didorong terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau, yang mencatatkan pertumbuhan menggalakkan sebanyak 14.6 peratus (Januari 2025: 10.6 peratus).
“Ini diikuti subsektor peralatan elektrik dan elektronik (E&E) dan produk galian bukan logam, logam asas dan produk logam fabrikasi masing-masing pada 7.7 peratus (Januari 2025: 7.3 peratus) dan 4.4 peratus (Januari 2025: 2.1 peratus),” katanya dalam Perangkaan Pembuatan Bulanan bagi Februari 2025 yang diterbitkan hari ini.
Mengenai perbandingan bulan ke bulan, beliau berkata nilai jualan susut sebanyak 3.2 peratus kepada RM153.1 bilion berbanding RM158.1 bilion pada bulan sebelumnya.
Mohd Uzir berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.1 peratus daripada jumlah jualan, meningkat 5.9 peratus pada Februari 2025 terutamanya disebabkan peningkatan dalam pembuatan minyak dan lemak sayuran dan haiwan sebanyak 18.3 peratus (Januari 2025: 11.1 peratus).
“Begitu juga, industri berorientasikan dalam negeri berkembang sebanyak 2.1 peratus pada Februari 2025, selepas mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.1 peratus pada Januari 2025.
"Prestasi ini disebabkan peningkatan tahun ke tahun dalam pembuatan produk pemprosesan makanan, pembuatan industri produk logam fabrikasi kecuali mesin dan peralatan, dan pembuatan asas,” katanya.
Perbandingan bulan ke bulan, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing susut sebanyak 3.2 peratus dan 3.1 peratus, katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata bilangan pekerja dalam sektor itu meningkat sebanyak 1.2 peratus kepada 2.39 juta orang pada Februari 2025, manakala pada asas bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor itu menurun sebanyak 0.1 peratus.
“Gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 2.0 peratus (Januari 2025: 1.5 peratus), berjumlah RM8.4 bilion pada Februari 2025, manakala pada asas bulan ke bulan, ia turun sebanyak 0.8 peratus.
Seterusnya, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat kepada RM63,961 (3.5 peratus), manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,513, meningkat 0.8 peratus tahun ke tahun," katanya.
Sepanjang dua bulan pertama tahun ini, nilai jualan bagi sektor pembuatan berjumlah RM311.2 bilion, meningkat sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024 (Januari – Februari 2024: 1.9 peratus).
Bilangan pekerja menokok sebanyak 1.2 peratus kepada 2.39 juta orang, manakala gaji dan upah meningkat 1.8 peratus kepada RM16.9 bilion dengan nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM130,009, tumbuh 2.9 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial