EKONOMI > BERITA

JUALAN DAGANGAN BORONG, RUNCIT FEB 2025 NAIK KEPADA RM148.3 BILION

11/04/2025 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatat jualan RM148.3 bilion pada Februari 2025 iaitu pertumbuhan 5.1 peratus tahun ke tahun, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu dipacu terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan borong.

Beliau berkata perdagangan runcit mencatat jumlah jualan sebanyak RM65.2 bilion atau peningkatan RM3.6 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.9 peratus.

“Selain itu, perdagangan borong pula mencatat jumlah jualan RM65.5 bilion yang juga peningkatan RM3.3 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.3 peratus.

“Bagi tempoh sama, subsektor kenderaan bermotor meraih jualan RM17.6 bilion yang tumbuh RM0.3 bilion atau 1.5 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata pertumbuhan dalam subsektor perdagangan runcit disokong oleh prestasi kukuh pelbagai kategori.

Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan meningkat 5.9 peratus kepada RM25.0 bilion manakala di kedai pengkhususan tumbuh 5.5 peratus kepada RM13.8 bilion pada Februari 2025.

Pada masa yang sama, jualan runcit barangan isi rumah meningkat 4.6 peratus kepada RM7.4 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh peningkatan permintaan terhadap bahan binaan dan produk perkakasan.

“Peningkatan aktiviti runcit ini disokong oleh pembelian barangan keperluan menjelang Ramadan dan Aidilfitri. 

Jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi meningkat 8.6 peratus kepada RM2.9 bilion, didorong perbelanjaan lebih tinggi bagi kelengkapan persekolahan sempena sesi akademik baharu pada pertengahan Februari,” katanya.

Mohd Uzir berkata Februari 2025 juga menyaksikan subsektor perdagangan borong terus kukuh, disokong oleh permintaan domestik berterusan terhadap keperluan dan produk berkaitan isi rumah.

Pertumbuhan segmen itu, katanya, disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang menokok 3.7 peratus kepada RM24.6 bilion, terutama permintaan lebih tinggi terhadap bahan perkakasan.

Jualan borong makanan, minuman dan tembakau juga mencatat peningkatan sebanyak 6.3 peratus tahun ke tahun kepada RM13.3 bilion.

Prestasi pertumbuhan itu disokong oleh perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi terhadap produk berkaitan makanan menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Beliau berkata jualan borong barangan isi rumah berkembang 5.1 peratus kepada RM13.7 bilion, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap pakaian, barang kemas dan produk berkaitan farmasi, sekali gus mencerminkan sentimen pengguna yang positif menjelang sambutan perayaan.

Jualan subsektor kenderaan bermotor turut meningkat berbanding tempoh sama pada 2024, disokong oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang naik 2.7 peratus kepada RM5.0 bilion dan diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang tumbuh 8.2 peratus kepada RM1.2 bilion.

Selain itu, katanya, jualan runcit dalam talian pada Februari 2025 turut meningkat dengan indeks naik 8.5 peratus tahun ke tahun, disumbangkan oleh pelbagai promosi sempena perayaan dan juga persediaan persekolahan manakala jumlah dagangan borong dan runcit naik 3.9 peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 4.9 peratus, diikuti oleh dagangan runcit yang tumbuh 4.3 peratus.

“Sebaliknya, kenderaan bermotor mencatat penurunan -0.8 peratus pada bulan ini. Selepas pelarasan musim, indeks volum merekodkan peningkatan bulanan 1.8 peratus berbanding Januari 2025,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan