KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025–2029 selepas diumum menang tanpa bertanding menjelang pemilihan rasmi badan induk itu pada 19 April ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Panel Bebas Pemilihan MOM Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril,yang memaklumkan Norza, bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tidak dicabar selepas pencalonan ditutup pada pukul 5 petang, kelmarin.
“Pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas proses pemilihan selesai pada 19 April ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Mohd Firuz, tiga lagi jawatan utama turut tidak dicabar, iaitu Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha Agung Wanita, Bendahari dan Penolong Bendahari.
Datuk Mohd Nasir Ali, yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), dinamakan sebagai calon tunggal bagi jawatan Setiausaha Agung, manakala bekas pemain bola jaring kebangsaan, Moira Tan Siew See, akan mengisi jawatan Penolong Setiausaha Agung Wanita.
Bagi jawatan Bendahari, Naib Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA) Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin akan menggalas tanggungjawab tersebut. Jawatan Penolong Bendahari pula akan disandang oleh Pemangku Presiden BAM Datuk V. Subramaniam.
Tumpuan pemilihan kali ini terarah kepada saingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden antara Naib Presiden MOM merangkap Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad dan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz.
Penyandang jawatan itu, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin tidak mempertahankan kedudukannya.
Sementara itu, tujuh calon akan merebut lima kerusi Naib Presiden, termasuk satu kuota untuk wakil wanita.
Calon lelaki terdiri daripada Datuk Chong Kim Fatt (Persekutuan Wushu Malaysia) Datuk Mohd Sumali Reduan (Persatuan Sepaktakraw Malaysia), Datuk Iruan Zulkefli (Persekutuan Tinju Malaysia), Gerard Monteiro (Persatuan Raket Skuasy Malaysia) dan Azizul Anuar Adenan (Presiden Taekwondo Malaysia).
Dua calon wanita pula ialah bekas atlet olahraga kebangsaan Datuk Paduka Mumtaz Jaafar dan Penolong Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Nurul Huda Abdullah.
Jawatan Penolong Setiausaha Agung Lelaki akan menyaksikan persaingan antara Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Arif Astaman, dan Presiden Persekutuan Snuker dan Biliards Malaysia (MSBF) Melvin Chia.
Dalam pada itu, Norza dalam kenyataan di Facebook rasmi MOM melahirkan rasa syukur kerana sekali lagi diberikan mandat untuk menerajui badan sukan itu tanpa sebarang tentangan.
“Saya juga dipilih tanpa bertanding untuk dua penggal terdahulu, 2018–2021 dan 2021–2025. Saya amat berbesar hati diberi peluang untuk berkhidmat bagi penggal ketiga berturut-turut.
“Dengan sokongan berterusan daripada ahli gabungan, saya kekal komited memimpin Gerakan Olimpik di Malaysia dan menjunjung nilai-nilai Olimpik di bawah naungan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial