KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Senarai calon yang akan bertanding dalam pemilihan jawatankuasa baharu Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025–2029 pada 19 April ini akan diumumkan Jumaat ini.
MOM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sejumlah 34 ahli gabungan telah mengemukakan borang pencalonan kepada Panel Bebas Pemilihan yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
“Panel Bebas ini akan menjalankan semakan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia sebelum mengumumkan senarai calon yang layak bertanding pada Jumaat ini,” katanya.
Panel tersebut turut dianggotai oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Anand Ponnudurai, dan ejen cukai berlesen dengan Kementerian Kewangan Datuk Harjit Singh Sidhu.
Pemilihan pemegang jawatan MOM bagi penggal baharu melibatkan 12 jawatan iaitu Presiden (satu jawatan), Timbalan Presiden (satu jawatan) dan Naib Presiden (lima jawatan).
Selain itu, ia juga melibatkan Setiausaha Agung (satu jawatan), Penolong Setiausaha Agung (dua jawatan — satu lelaki dan satu wanita), Bendahari (satu jawatan) dan Penolong Bendahari (satu jawatan).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial